Mohd Iskandar Ibrahim


BEKAS Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Abdul Samad pelik dengan tindakan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadapnya, hari ini.

Shahrir berkata, setakat ini beliau belum menerima writ saman yang dimeterai mahkamah berhubung perkara itu.

“Saya pelik kenapa nak saman saya pula. Tak pernah dalam sejarah yang mana seorang bekas pengerusi agensi kerajaan disaman oleh syarikat swasta.

“Walaupun saya sudah menerima notis tuntutan daripada mereka (SPSB) pada 24 Mei lalu, saya masih belum menerima writ saman yang dimeterai mahkamah. Oleh sebab itu saya tidak boleh beri sebarang kenyataan kenapa mereka saman saya,” katanya pada sidang media di Kualal Lumpur.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan SPSB memfailkan saman fitnah berjumlah RM100 juta terhadapnya melalui Tetuan Reza Rahim & Rajivan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil.

Syarikat berkenaan mendakwa Shahrir yang ketika itu Pengerusi FELDA mengeluarkan beberapa kenyataan fitnah antara Disember 2017 hingga Mac 2018 yang disiarkan dalam beberapa media massa, laman sosial Facebook dan YouTube serta portal berita.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata, setiap kenyataan atau keputusan yang dibuat mengenai isu tanah FELDA ketika itu berlandaskan persetujuan ahli Lembaga Pengarah FELDA, Unit Kawal Selia FELDA di Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara.

“Setiap kenyataan dan keputusan dibuat berdasarkan proses ini. Sama seperti ketika laporan polis dibuat oleh Pengarah Besar FELDA, Datuk Abdul Ghani Mohd Ali mengenai isu tanah (FELDA) pada 26 Disember lalu.

“Saya tidak tahu adakah ini tindakan bermotifkan politik tetapi apa yang saya tahu, mereka (SPSB) sudah berjumpa Majlis Penasihat Kerajaan pada 31 Mei lalu.

“Tiada sebab untuk saya meminta maaf secara terbuka kepada mereka. Kenapa perlu saman saya sebab perjanjian persefahaman (MoU) antara FELDA dan SPSB masih berkuat kuasa sehingga 14 Jun ini,” katanya.

Berita berkaitan

Shahrir Samad disaman RM100 juta

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 10:25 PM
SHAHRIR ketika sidang media berhubung kes saman RM 100 juta oleh Synergy Promenade Sdn Bhd terhadapnya di KualaLumpur, hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin
SHAHRIR ketika sidang media berhubung kes saman RM 100 juta oleh Synergy Promenade Sdn Bhd terhadapnya di KualaLumpur, hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin