ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kulim/Bandar Baharu menunjukkan ular sawa sepanjang enam meter dan beratnya 100 kilogram yang  ditangkap di Jalan Tunku Bendahara. FOTO Ihsan APM Kulim
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kulim/Bandar Baharu menunjukkan ular sawa sepanjang enam meter dan beratnya 100 kilogram yang ditangkap di Jalan Tunku Bendahara. FOTO Ihsan APM Kulim
Zuliaty Zulkiffli


ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kulim mengambil masa hampir 40 minit untuk menangkap ular sawa yang sedang membelit seekor babi di kawasan semak berhampiran perumahan penduduk di Lorong Bendahara, Jalan Tunku Bendahara, di Kulim, malam tadi.

Ular sawa sepanjang enam meter dan beratnya 100 kilogram (kg) itu membelit babi berkenaan dan membawanya naik ke atas pokok berdekatan rumah penduduk pada 9.30 malam.

Pegawai Pertahanan Awam Kulim/Bandar Baharu, Kapten (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, pihaknya menerima panggilan 9.37 malam dan sepasukan empat anggotanya tiba di lokasi 9.49 malam.

Beliau berkata, operasi diketuai Ketua Pasukan Charlie, Sarjan (PA) Mohamad Hafis Ibrahim dan mendapati ular sawa masih berada di lokasi ketika itu.

“Anggota APM menggunakan peralatan khas untuk menangkap ular berkenaan yang tidak sempat menelan babi itu.

“Ular sawa itu bertindak agresif dan cuba bergelut dengan anggota, namun dengan kemahiran yang ada, anggota kami dapat menangkap reptilia itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Fadhil berkata, ular sawa itu mungkin lapar dan berasa terancam menyebabkan ia menyerang anggotanya.

Beliau berkata, reptilia itu kemudian dibawa ke pejabat APM Kulim/Bandar Baharu untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 9:09 AM