PENGERUSI Barisan Nasional Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan isteri Datin Seri Junaini Kassim mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Bentong. Foto BERNAMA
PENGERUSI Barisan Nasional Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan isteri Datin Seri Junaini Kassim mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Bentong. Foto BERNAMA
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


ISTIADAT mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Pahang akan diadakan 11 pagi esok.

Sumber rapat Istana Pahang memaklumkan istiadat itu akan dilangsungkan sebelum istiadat pengurniaan pingat darjah kebesaran negeri itu di Istana Abu Bakar, Pekan.

“Perkara berkenaan sudah dibawa ke pengetahuan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum mendapat perkenan baginda,” katanya ketika dihubungi NSTP di Kuantan, hari ini.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pelantikan bagi jawatan Menteri Besar hanya akan dibuat selepas mendapat perkenan daripada pihak Istana Pahang.

Katanya, pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan dibuat selepas pihak Istana memilih dan melantik Menteri Besar.

Pada PRU-14, BN memperoleh 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memperoleh majoriti mudah, sekali gus membolehkan kerajaan negeri dibentuk.

Pakatan Harapan pula menang sembilan kerusi DUN manakala PAS lapan kerusi.

Hingga kini BN masih belum memberi bayangan mengenai nama calon Menteri Besar yang sudah diserahkan kepada pihak Istana Pahang.

Bagaimanapun, Adnan yang menang di DUN Pelangai bagi penggal ke-lapan disebut-sebut sebagai calon paling layak untuk kekal sebagai Menteri Besar berdasarkan pengalamannya dan situasi ketika ini apabila Pahang sebagai kerajaan pembangkang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 12:41 PM