Amin Ridzuan Ishak


ISTIADAT pengurniaan surat pelantikan dan angkat sumpah jawatan Menteri Besar Pahang akan diadakan di Bilik Menghadap Utama, Istana Abu Bakar, Pekan, esok.

Media yang menerima jemputan daripada wakil Istana Pahang menerusi aplikasi WhatsApp dimaklumkan istiadat itu akan diadakan pada 3 petang, namun tidak menyatakan siapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik ke jawatan itu.

Difahamkan pada majlis berkenaan turut diadakan majis pelantikan dan angkat sumpah Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Pahang yang sepatutnya diadakan di Istana Abu Bakar Sabtu lalu ditangguhkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang memerlukan masa membuat keputusan dan mengenal pasti semua anggota kerajaan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), BN menang 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memperoleh majoriti mudah sekali gus membolehkan kerajaan negeri dibentuk manakala Pakatan Harapan (PH) pula memenangi sembilan kerusi dan PAS lapan kerusi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dilihat calon paling sesuai dilantik sebagai Menteri Besar berdasarkan perkembangan politik semasa negara yang menyaksikan tampuk pemerintahan Kerajaan Pusat bertukar kepada PH.

Ini kerana Adnan, 68, bukan sahaja membuktikan kemampuannya mengekalkan kemenangan BN pada PRU-14 ketika negeri ditadbir BN lain ditawan PH tetapi beliau juga mempunyai hubungan baik dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sekiranya Adnan, 68, dilantik semula beliau akan menjadi Menteri Besar paling lama berkhidmat selama 19 tahun di negeri ini.

Sementara itu, Pengerusi PH Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman ketika dihubungi NSTP menafikan khabar angin bahawa ada ADUN daripada BN menyertai PH dalam jumlah ramai sekali gus membolehkan gabungan berkenaan membentuk kerajaan.

"Sekiranya ada perbincangan tentunya harus membabitkan saya sebagai Pengerusi PH Pahang, namun saya sendiri tidak ada berbincang dengan mana-mana pihak bagi tujuan itu.

"Tiada kemasukan ADUN daripada BN untuk menyertai PH, pada pendapat saya adalah lebih baik BN membentuk kerajaan kerana mereka mendapat mandat daripada rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 3:38 PM