MANGSA  yang maut dilanggar kereta api ketika melintas landasan, semalam.
MANGSA yang maut dilanggar kereta api ketika melintas landasan, semalam.
HM Digital

Machang: Seorang warga Pakistan maut dilanggar kereta api ketika melintas landasan di Kilometer 468.7, Kampung Paloh Rawa, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.38 petang, mangsa, Shabir Ahmad, 32, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di bahagian badan dan patah kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan seorang lelaki dilanggar kereta api di kawasan itu.

Katanya, siasatan mendapati mangsa seorang peniaga permaidani menunggang motosikal seorang diri untuk melintas landasan kereta api dari jalan besar Kampung Paloh Rawa menuju ke Temangan.

“Ketika melintas, dia dilanggar kereta api yang datang dari Gemas menuju ke Tumpat.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang sebelum dibedah siasat dan kes itu diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Sementara itu, seorang penduduk, Nor Hisham Hashim, 28, berkata, ketika kejadian itu, dia menonton televisyen sebelum dikejutkan dengan dentuman kuat di landasan kereta api yang berada berdekatan rumahnya.

Katanya, dia bergegas keluar sebelum terkejut melihat lelaki dilanggar kereta api.

“Pada mulanya saya menyangka lembu yang kena langgar kerana kejadian itu sering berlaku, tetapi apabila keluar saya terkejut apabila melihat seorang lelaki di tepi landasan.

“Lelaki itu bukan penduduk di kampung ini tetapi pernah dilihat menjual permaidani di sekitar. Tidak sangka kemalangan kali ini meragut nyawa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 6:15 AM