GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Seorang lelaki maut selepas dilanggar kereta api berhampiran Taman Sri Kijang Machang Bubok, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu 8.30 malam.

Menurutnya, siasatan di lokasi kejadian menemukan mangsa berusia lingkungan 30-an parah dipercayai dilanggar kereta api di landasan landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) laluan Bukit Mertajam menghala Simpang Ampat.

"Mangsa disahkan meninggal dunia dan mayatnya dibawa ke bahagian forensik Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk bedah siasat.

"Berdasarkan siasatan, mangsa didapati tiada kesan suntikan Bacillus Calmette Gurrain (BCG) selain tiada dokumen pengenalan diri," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, tiada unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

"Orang ramai mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di talian 04-538 2222 bagi membantu pengecaman mayat.

"Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menceroboh kawasan yang dipagar atau melintas landasan KTMB kerana ia boleh membahayakan nyawa dan merosakkan harta benda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 4:57 PM