FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Siti Nadzirah Che Mud


LELAKI warga Pakistan maut dilanggar kereta api ketika melintas landasan di Kilometer 468.7 Kampung Paloh Rawa, Machang, hari ini.

Dalam kejadian pada 4.38 petang itu, mangsa Shabir Ahmad, 32, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan dan patah kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan seorang lelaki dilanggar kereta api di kawasan itu.

Katanya, siasatan awal mendapati peniaga karpet itu menunggang motosikal seorang diri untuk melintas landasan kereta api dari jalan besar Kampung Paloh Rawa menuju ke Temangan.

“Ketika melintas, dia dilanggar kereta api yang datang dari arah Gemas menuju ke Tumpat.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, penduduk Nor Hisham Hashim, 28, berkata ketika kejadian dia sedang menonton televisyen sebelum dikejutkan dengan dentuman kuat di landasan kereta api berdekatan rumahnya.

Katanya, dia kemudian bergegas keluar sebelum terkejut melihat seorang lelaki dilanggar kereta api.

“Pada mulanya saya menyangka lembu yang kena langgar kereta api kerana kejadian itu sering berlaku, namun apabila keluar saya terkejut apabila melihat seorang lelaki di tepi landasan.

“Mangsa bukan penduduk di kampung ini tetapi pernah dilihat menjual karpet di kawasan sekitar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 9:47 PM