PETUGAS SPR membawa peti undi ke  pusat penjumlahan rasmi di Dewan Besar Tanjung, Shah Alam. FOTO Syarafiq Abd Samad
PETUGAS SPR membawa peti undi ke pusat penjumlahan rasmi di Dewan Besar Tanjung, Shah Alam. FOTO Syarafiq Abd Samad
Mohd Iskandar Ibrahim dan Tharanya Arumugam


PKR mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada Pilihan Raya Kecil hari ini dengan majoriti 5,842 undi.

Jumlah majoriti itu adalah rendah berbanding Plilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dikaitkan dengan peratusan keluar mengundi yang rendah.

Pada PRK itu, calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, 48, memperoleh 15,427 undi; Datuk Lokman Noor Adam (BN), 9,585 undi dan calon Bebas, K Murthy 97 undi.

Murthy juga hilang wang deposit.

Sebanyak 51,217 pengundi berdaftar di DUN Sungai Kandis.

Sejumlah 49.4 peratus daripada 51,230 pemilih berdaftar keluar mengundi pada PRK itu yang diadakan berikutan kematian penyandang daripada PKR, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu (tiga kanan) bersama Amirudin (dua kanan) dan Mohd Zawawi meraikan kemenangan PRK DUN Sungai Kandis di Shah Alam. FOTO Roslin Mat Tahir
MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu (tiga kanan) bersama Amirudin (dua kanan) dan Mohd Zawawi meraikan kemenangan PRK DUN Sungai Kandis di Shah Alam. FOTO Roslin Mat Tahir

Pada PRU-14, Mat Shuhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis dengan 23,998 undi, menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Proses mengundi di 19 pusat pengundian dengan 109 saluran, berlangsung dalam keadaan aman tanpa sebarang provokasi daripada penyokong parti bertanding.

Bagi undi pos, Mohd Zawawi memperoleh 18 daripada 49 kertas undi yang dikeluarkan dengan calon BN mendapat 15 undi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Sungai Kandis, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad, mengumumkan keputusan pilihan raya kecil berkenaan di pusat penjumlahan undi di Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 19, Shah Alam, 9.30 malam tadi.

Lagi berita PRK Sungai Kandis

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 10:08 PM