Kamaruzaman pada sidang media hari ini menegaskan penegasan PAS supaya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja menyiasat tragedi Memali
Kamaruzaman pada sidang media hari ini menegaskan penegasan PAS supaya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja menyiasat tragedi Memali
Ilah Hafiz Aziz dan Beatrice Nita Jay

PAS menegaskan amanat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukan punca berlakunya tragedi Memali seperti yang didakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, dakwaan dan tuduhan terhadap PAS mengenai perkara itu adalah biasa yang berlaku kepada parti tetapi ia adalah perkara tidak benar.

“Sebelum ini Dr Mahathir menuduh bahawa amanat Abdul Hadi yang menjadi penyebab kepada tragedi Memali. PAS dengan ini tegas menyebut bahawa PAS tidak pernah menjadi punca kepada tragedi itu, bahkan, ia berlaku disebabkan tindakan agresif pihak keselamatan terhadap orang kampung yang tidak bersenjata.

“Oleh demikian, PAS konsisten sejak dulu lagi untuk meminta satu Suruhanjaya Diraja dibentuk supaya satu siasatan yang telus dapat dilakukan agar mereka yang bersalah diambil tindakan yang sewajarnya,” katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, hari ini.

Kamaruzaman berkata, walaupun PAS menerima permohonan maaf Dr Mahathir berikutan menggelar mangsa yang terkorban sebagai ‘mati katak’, parti itu turut kesal dengan kenyataan beliau yang menuduh pula Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kenyataan itu (mati katak) menimbulkan kemarahan waris dan keluarga mangsa serta seluruh rakyat Malaysia namun PAS kesal di sebalik permohonan maaf itu, Dr Mahathir cuba meletakkan kesalahan tragedi Memali kepada PDRM,” katanya.

Dalam pada itu, Kamaruzaman yang juga jurucakap rasmi Gagasan Sejahtera turut mengesahkan dua calon Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau dan Sungai Manik, Perak akan diambil tindakan disiplin oleh parti itu.

“Tindakan itu akan diambil sendiri oleh parti itu kerana ia adalah membabitkan masalah dalaman.

“Saya ingin menegaskan juga, isu calon di dua kawasan ini tidak menjejaskan hubungan Berjasa dalam Gagasan Sejahtera, mereka masih kekal bersama kami, dan menggunakan logo PAS,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 9:25 PM