ANWAR menyampaikan ucapan pada Program Sentuhan Kasih Desa Kelantan. FOTO Bernama
ANWAR menyampaikan ucapan pada Program Sentuhan Kasih Desa Kelantan. FOTO Bernama
Nor Fazlina Abdul Rahim dan Syaherah Mustafa


Gua Musang: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad kini adalah kumpulan yang terdesak sehingga terpaksa sepentas dengan Perikatan Nasional (PN).

Perdana Menteri itu berkata, Dr Mahathir adalah individu yang paling kejam terhadap Pas, sekolah agama rakyat serta mangsa Memali, namun kini didokong.

Bagaimanapun katanya, tindakan bekas Perdana Menteri tidak menjejaskan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN), bulan depan.

"Beliau kumpulan terdesak dan tiada ruang lain untuk dia heret. Tun (Dr) Mahathir orang yang paling kejam terhadap Pas, sekolah agama rakyat, terhadap mangsa memali, namun kini didokong.

"Tidak mengalah, itu hak dia. Namun ia tidak menjejaskan sokongan kepada kami," katanya pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Felda di sini, hari ini.

Kelmarin, Dr Mahathir membuat kemunculan pertamanya di atas pentas PN di Kelantan dengan menyampaikan amanat negarawan di hadapan puluhan ribu penyokong parti itu.

Turut menarik perhatian, Dr Mahathir yang memakai kemeja putih turut menyarung jaket Pas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 3:23 PM