Azrul Affandi Sobry


“KAMI sedih... Kenapa ungkit kisah lama dan kenapa perlu guna isu Memali untuk pilihan raya kali ini.”

Itu luahan hati mereka yang terbabit dalam peristiwa Memali 33 tahun lalu selepas Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kematian 14 penduduk kampung dalam tragedi itu sebagai ‘mati katak’.

Nyata, mereka marah dan amat tidak selesa kisah Memali yang berlaku pada 19 November 1985 digunakan di pentas kempen pilihan raya, malah kemarahan itu berganda dengan kenyataan tidak menjaga hati mereka.

Anak murid Allahyarham Ibrahim Mahmud atau dikenali sebagai Ibrahim Libya, Zaman Mahmud, 65, berkata sejak mereka mendapat khabar mengenai kenyataan Mahathir, suasana mula suram di kampung itu.

“Kenapa Tun M nak bangkitkan kembali peristiwa Memali dan kenapa terlalu keras ayat digunakan. Mati katak itu terlalu kasar.

“Kehidupan di Memali sudah tenteram. Kami yang dalam PAS pun tak mahu ungkit kisah lama itu, tapi kenapa pula Tun M bangkitkan.

“Jujur saya katakan, kebanyakan kami tidak marah dengan kerajaan kerana bagi kami isu Memali bukan salah kerajaan, tetapi hanya kerana seorang lelaki bernama Mahathir,” katanya.

Beliau yang turut berada dalam rumah ketika Ibrahim Libya terbunuh, berkata sentimen diwujudkan Mahathir boleh menimbulkan ketegangan dalam kampung itu yang sudah lama aman.

Seorang lagi anak murid Ibrahim Libya, Zakaria Abdul Rahman, 58, berkata sepatutnya golongan dalam Parti Amanah Negara (PAN) kekal dengan pendirian mereka sebelum ini iaitu memperjuangkan istilah syahid untuk mangsa Memali, tetapi sebaliknya mereka sudah tidak ada pendirian.

“Kami amat marah apabila orang macam Mat Sabu kononnya mewakili bekas pemimpin PAS memohon maaf kepada Tun M mengenai isu Memali sebelum ini.

“Siapa mereka untuk meminta maaf sedangkan kami di Memali masih tidak diberikan hak untuk membuktikan siapa salah dan apa puncanya. Kami mahu bangkit untuk jawab semua dakwaan Mahathir selama ini.

“Mendakwa guru dan ayah kami sebagai mati katak adalah amat biadab dan tidak boleh dimaafkan. Jangan timbulkan sentimen sekali lagi kerana kami mahu terus hidup aman seperti sekarang,” katanya.

Tinjauan wartawan NSTP di kampung itu mendapati keadaan begitu tenang, tetapi apabila bertemu kelompok kecil terutama di kawasan berhampiran rumah Ibrahim Libya, ketegangan jelas terpancar di wajah mereka.

Malah, kami diingatkan supaya tidak lagi membangkitkan isu Memali kerana ia akan mengguris hati, bukan hanya generasi hidup pada zaman itu, tetapi anak dan cucu mereka.

Mahathir ketika berucap dalam Ceramah Perdana bersama Calon PKR P121 Lembah Pantai di pekarangan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di Kuala Lumpur, Khamis lalu mendakwa 14 mangsa yang terkorban dalam tragedi berdarah Memali pada 1985 sebagai ‘mati katak’, bukan mati syahid.

Calon PKR Parlimen Langkawi itu mendakwa, ‘Amanat Haji Hadi’ pada 1981 yang menjadi punca berlakunya peristiwa hitam terbabit dengan membunuh pegawai kerajaan yang disifatkan sebagai kafir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 2:48 PM
KUBUR menempatkan 14 korban tragedi Memali di Kampung Parit Panjang. Gambar kecil, Zaman Mahmud (berkopiah) dan Zakaria Abdul Rahman. FOTO  Nor Farizan Abd Rahman
KUBUR menempatkan 14 korban tragedi Memali di Kampung Parit Panjang. Gambar kecil, Zaman Mahmud (berkopiah) dan Zakaria Abdul Rahman. FOTO Nor Farizan Abd Rahman