PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama Presiden IKATAN, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Presiden BERJASA, Abdul Kadir Mamat dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bergambar bersama Dokumen Malaysia Sejahtera ketika majlis pelancarannya di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama Presiden IKATAN, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Presiden BERJASA, Abdul Kadir Mamat dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bergambar bersama Dokumen Malaysia Sejahtera ketika majlis pelancarannya di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Oleh Norrasyidah Arshad dan Siraj Zaini


TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, diumumkan akan bertanding bagi kerusi Parlimen Kubang Kerian pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengumuman itu dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada program Jelajah Presiden PAS, di Shah Alam, malam ini.

Abdul Hadi turut mengumumkan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, sebagai calon untuk mewakili parti itu di Parlimen Arau.

Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi mengumumkan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan parti Barisan Jemaah Ismaniah Se-Malaysia (BERJASA), yang juga parti komponen Gagasan Sejahtera (GAGASAN), akan bertanding di dua kerusi Parlimen dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

IKATAN turut bertanding di DUN Subang Jaya, diwakili Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamad Badri Abd Rahman; Datuk David Sew Kah Heng di DUN Bukit Gasing; G S Santokh Singh di DUN Pandamaran dan Datuk Lim Ying Ran di DUN Kinrara.

Bagi kerusi Parlimen pula, IKATAN akan bertanding di Parlimen Subang, yang diwakili Ketua Pemudanya, Mohd Shahir Mohd Adnan.

BERJASA pula akan bertanding kerusi Parlimen Selayang diwakili Timbalan Presidennya, Datuk Hashim Abd Karim.

Selain itu, Sallehen menyatakan, DUN Ijok yang pernah disandang bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada 2008, akan diwakili calon PAS iaitu Jefri Mejan.

Beliau berkata, terdapat kekeliruan ketika pengumuman PAS, minggu lalu bagi kerusi Parlimen Bangi dan DUN Sungai Ramal.

“Bekas Timbalan Speaker DUN Selangor, Shafie Ngah akan bertanding di Parlimen Bangi, manakala bekas hos rancangan televisyen iaitu Nushi Mahfodz dicalonkan di DUN Sungai Ramal,” katanya.

Difahamkan, kedua-dua parti berkenaan akan bertanding menggunakan logo PAS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 1:35 AM