KANOPI dan bahan kempen yang dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab. FOTO Abdnor Hamizam
KANOPI dan bahan kempen yang dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab. FOTO Abdnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap


PUSAT Daerah Mengundi ( PDM ) Kampung Pekan Jelai di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang di Jempol dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab, selain 30 bendera parti turut dicuri.

Ketua PDM kampung berkenaan, M Sanmukam, 51, berkata, kejadian disedari 7 pagi hari ini selepas dimaklumkan oleh petugas yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) PDM terbabit.

Katanya, dia kemudian bergegas ke lokasi dan mendapati kanopi kecil yang dijadikan sebagai PDM yang terletak berhampiran dewan orang ramai itu dirosakkan sehingga roboh.

“Selain bendera yang dicuri, pelaku turut membuang carta organisasi PDM, kain rentang dan papan tanda ke dalam tong sampah yang terletak kira-kira 50 meter dari khemah,” katanya.

Sanmukam berkata, kali terakhir dia dan petugas berada di PDM berkenaan pada 12.30 tengah malam, sebelum pulang ke rumah.

“Selain itu, pihak tidak bertanggungjawab turut menggantung bendera parti politik lain di kanopi milik PDM Kampung Pekan Jelai ini,” katanya.

Katanya, dia kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bahau pada 8.07 pagi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhammad Nur Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 4:14 PM