Kawasan sekitar Bandar Kuantan dinaiki air banjir berikutan hujan lebat di beberapa kawasan sejak semalam. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Kawasan sekitar Bandar Kuantan dinaiki air banjir berikutan hujan lebat di beberapa kawasan sejak semalam. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Sebanyak tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Pahang membabitkan 137 mangsa banjir daripada 34 keluarga di Maran dan Raub, setakat jam 5 petang.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 65 mangsa ditempatkan di lima PPS di Maran iaitu Balai Penerangan Umno Pekan Sungai Jerik; Dewan Serbaguna Sungai Jerik; Dewan JKKR Jengka 14; Dewan JKKR Jengka 11 dan Dewan Umno Ulu Jempol.

Manakala di Raub, 12 mangsa ditempatkan di surau Kampung Peruas dan 15 mangsa di Balai Raya Kampung Pamah Kulat.

Sehingga 5 petang, Sungai Kechau di Kampung Dusun, Lipis dan Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut melepasi paras bahaya dengan masing-masing mencatat bacaan 84.28 meter (m) dan 58.29, manakala Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut melepasi paras amaran iaitu 66.93m.

Lapan sungai pula merekodkan paras berjaga-jaga iaitu Sungai Jelai di Kuala Medang, Lipis (82.95m), Sungai Jelai di Jeti Lipis (62.38m), Sungai Jelai di Jeram Bungor, Lipis (58.03m), Sungai Jempol di Ran Felda Jengka, Maran (29.08m) dan Sungai Maran di bandar Maran (23.40m).

Turut lepasi paras berjaga-jaga ialah Sungai Lepar di jambatan Gelugor, di sini yang mencatat 28.77m, Sungai Lembing (34.03 m) dan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi (5.75m).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 6:31 PM