JIM menahan 25 pelacur warga asing yang menyalahgunakan PLS di Puchong. FOTO Ihsan JIM
JIM menahan 25 pelacur warga asing yang menyalahgunakan PLS di Puchong. FOTO Ihsan JIM
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan sindiket pelacuran di Puchong ketika Ops Gegar, Jumaat lalu.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam Ops berkenaan, Bahagian Perisikan dan Operasi Khas menyerbu sebuah hotel dan seunit kondominium di Puchong, Selangor yang disyaki menjalankan kegiatan pelacuran.

Bertindak atas maklumat orang awam, pihaknya menahan 25 wanita warga asing berusia 18 hingga 47 tahun iaitu 20 wanita Indonesia, Thailand (3) dan Vietnam (2) serta dua lelaki yang disyaki penjaga premis hotel dan merampas wang tunai RM9,325.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan wanita warganegara Indonesia yang berpenampilan seperti wanita tempatan sebagai daya penarik utama untuk memancing pelanggan," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, ketika serbuan di unit kondominium itu, pihaknya turut menahan wanita warga asing yang disyaki sebagai ketua atau dipanggil 'Mummy' yang berusia 28 tahun berperanan sebagai penjaga wanita warga asing.

"Modus operandi sindiket adalah pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat seks akan berurusan melalui aplikasi Whatsapp sebelum mereka diberikan kata laluan untuk masuk ke hotel. Tanpa kata laluan pelanggan tidak dibenarkan masuk oleh penjaga premis.

"Bayaran yang dikenakan sebanyak RM240 bagi sekali langgan khidmat seks. Pelacur yang sihat dan boleh bekerja akan ditempatkan di hotel dan akan bekerja bermula 11 pagi hingga 4 pagi keesokan harinya.

"Bagi pelacur yang tidak sihat dan tidak boleh bekerja akan ditempatkan di kondominium dan dijaga oleh Mummy. Mereka tidak dibenarkan keluar meninggalkan rumah dan tempat kerja. Pergerakan mereka akan sentiasa diawasi oleh penjaga dan Mummy terbabit," katanya.

Tambahnya, kondominium itu juga dijadikan tempat transit wanita yang baru tiba dari Indonesia atau Thailand sebelum dihantar ke hotel untuk bekerja sebagai pelacur dan hasil siasatan lanjut mendapati sindiket dipercayai sudah beroperasi hampir dua tahun.

"Semakan JIM mendapati wanita warga asing ini masuk ke Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) yang sah dan menepati syarat sebagai pelancong. Bagaimanapun mereka menyalahgunakan kemudahan PLS ini untuk melakukan kerja pelacuran dan tidak bermoral," katanya.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 12:19 PM