SEBAHAGIAN pelayan warga asing yang diperiksa ketika Op Bah di Bandar Baru Sri Petaling, semalam.
SEBAHAGIAN pelayan warga asing yang diperiksa ketika Op Bah di Bandar Baru Sri Petaling, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


TINGKAT satu dijadikan pusat tawar-menawar aktiviti pelacuran manakala tingkat tiga pula ‘asrama’ menempatkan pekerja lelaki warga asing.

Begitu keadaan di sebuah rumah kedai tiga tingkat di Jalan Radin Tengah, Bandar Baru Sri Petaling, di sini, yang dijadikan sebagai tempat tinggal warga asing dan sarang pelacuran.

Dalam serbuan bermula jam 11 malam kelmarin itu, dua premis di rumah kedai terbabit antara enam lokasi serbuan Operasi Banteras Aktiviti Haram (Op BAH).

Ia membabitkan pusat rawatan kesihatan dan premis hiburan di Bandar Baru Sri Petaling, Jalan Klang Lama dan Jalan Ampang, di sini.

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Osman Ismail berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah pusat rawatan kesihatan di Jalan Radin Anum 1, Bandar Baru Sri Petaling di sini, selepas menerima maklumat.

PEGAWAI AADK turut serta dalam gerakan  bersepadu  Op Bah.
PEGAWAI AADK turut serta dalam gerakan bersepadu Op Bah.

“Pemeriksaan mendapati kegiatan pelacuran di premis terbabit yang dipromosikan menerusi media sosial. Di premis ini, kami menahan empat wanita warga Thailand berusia 20-an hingga 30-an dipercayai pelacur selain enam pelanggan warga tempatan berusia 30-an.

“Pemeriksaan mendapati pusat itu mempunyai permit namun didapati menyalahgunakannya dengan menjalankan kegiatan pelacuran,” katanya.

Osman berkata, serbuan kedua dilakukan di sebuah premis di Jalan Radin Bagus, Bandar Baru Sri Petaling, di sini, membawa penahanan kepada 16 wanita warga asing berusia 20-an hingga 30-an yang disyaki menawarkan khidmat seks.

“Premis yang tidak memiliki lesen itu didapati menjalankan kegiatan pelacuran yang menawarkan khidmat seks pelacur warga Thailand, Vietnam dan Indonesia.

SEBAHAGIAN pekerja warga asing yang ditahan di asrama mereka  di Jalan Radin Tengah, Bandar Baru Sri Petaling.
SEBAHAGIAN pekerja warga asing yang ditahan di asrama mereka di Jalan Radin Tengah, Bandar Baru Sri Petaling.

“Sindiket ini membolehkan pelanggan memilih wanita dikehendaki yang diletakkan di dalam bilik mengikut negara.

“Pelanggan dikenakan bayaran pada kadar RM160 hingga RM200 setiap sesi dan diberi pilihan sama ada melakukan hubungan seks di lebih 20 bilik kecil disediakan atau membawa mereka keluar ke hotel berhampiran,” katanya.

Menurutnya, premis itu turut mendirikan struktur tanpa kebenaran untuk dijadikan bilik melayan pelanggan.

Katanya, ketika serbuan dilakukan, anggota penguat kuasa turut menemui ‘asrama’ dihuni 11 lelaki warga Bangladesh yang terletak di tingkat tiga rumah kedai berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati kesemua lelaki warga Bangladesh berusia 30-an hingga 40-an itu tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah.

SALAH satu bilik asrama pekerja tukang urut warga asing yang dibongkar pada gerakan  bersepadu Op Bah.
SALAH satu bilik asrama pekerja tukang urut warga asing yang dibongkar pada gerakan bersepadu Op Bah.

“Mereka yang bekerja sebagai buruh binaan di tapak pembinaan berhampiran menyewa bilik di tingkat tiga rumah kedai itu dengan anggaran bayaran RM100 seorang setiap bulan. Di tingkat tiga berkenaan, terdapat lebih 10 bilik disewa empat hingga lima individu dalam sebuah bilik,” katanya.

Beliau berkata, semua 31 warga asing yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1956/1963 Pindaan 2002 dan Seksyen 39(b) akta sama.

“Kedua-dua premis berkenaan turut ditutup, manakala struktur yang dibina tanpa kebenaran di premis kedua turut dirobohkan.

“Kami turut merampas peralatan serta barangan yang digunakan sindiket terbabit bagi menjalankan kegiatan tidak bermoral di kedua-dua premis itu,” katanya.

Operasi yang diketuai DBKL itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selain JIM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 8:03 AM