ANTARA mualaf yang mengikuti kursus pengurusan jenazah di kompleks Darul Hidayah.
ANTARA mualaf yang mengikuti kursus pengurusan jenazah di kompleks Darul Hidayah.
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Yayasan Mualaf Malaysia menubuhkan Skuad Pengurusan Jenazah Mualaf khusus bagi menyediakan individu berkemahiran menguruskan jenazah.

Ia akan membantu memudahkan setiap aspek pengurusan jenazah, pemahaman dan keperluan berkaitan terutama membabitkan saudara baru.

Pengerusinya Shila Lama Abdullah berkata, skuad itu yang ditubuhkan awal tahun ini akan menjadi perintis dalam kalangan mualaf untuk menguruskan jenazah bersama dengan pengurusan masjid serta pihak berkuasa agama.

“Buat masa ini kita ada 12 mualaf terdiri daripada pelbagai bangsa yang akan belajar bagaimana menguruskan jenazah dengan sempurna dibantu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Kita adakan kursus pengurusan jenazah di Kompleks Darul Hidayah, baru-baru ini untuk memberi pendedahan.

“Selepas ini, kita harap skuad itu akan menguruskan jenazah mualaf, membantu pihak berwajib dan ahli keluarga sehingga selesai pengebumian,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, antara perancangan yayasan untuk menjadi jambatan antara setiap mualaf dan ahli keluarga agar ikatan persaudaraan kekal walau berlainan agama.

Katanya, ia menjadi isu sejak sekian lama di mana ada keluarga yang tidak bersetuju dengan hasrat mualaf memeluk Islam sedangkan hakikatnya hubungan sesama saudara itu tidak akan putus.

“Melalui skuad ini juga, kita akan kongsi dengan keluarga bagaimana jenazah diuruskan mengikut cara Islam dan saya percaya selepas mengetahuinya, tidak akan timbul lagi isu perselisihan faham.

“Kita kena cari titik persamaan dalam menguruskan perbezaan ini. Yayasan Mualaf Malaysia akan terus menjalankan lebih banyak program untuk menyantuni mualaf dan keluarga mereka. Semoga semuanya dapat hidup dalam harmoni,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 3:41 AM