HAKIMAH (kanan) beramah mesra bersama sebahagian guru-guru pada Majlis Perasmian Simposium Guru-Guru Mualaf Peringkat Kebangsaan Kali Pertama Tahun 2022. FOTO Bernama
HAKIMAH (kanan) beramah mesra bersama sebahagian guru-guru pada Majlis Perasmian Simposium Guru-Guru Mualaf Peringkat Kebangsaan Kali Pertama Tahun 2022. FOTO Bernama
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mensasarkan memperluaskan penggunaan sistem e-Mualaf di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, sehingga kini, sistem yang dibangunkan sejak 2013 itu merekodkan seramai 58,670 mualaf di seluruh negara.

Beliau berkata, ketika ini, tujuh negeri sudah menggunakan sistem berkenaan iaitu Wilayah Persekutuan, Perlis, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Katanya, apabila isu mualaf diperkatakan, antara perkara yang menjadi fokus utama adalah pengurusan golongan itu di peringkat jabatan agama Islam negeri (JAIN) dan Jakim.

Hakimah berkata, isu berkaitan identiti mualaf, misalnya sering dibangkit dan dibincangkan dalam forum di peringkat negeri dan Persekutuan.

"Apabila kita bercakap mengenai identiti, ia memerlukan intervensi atau tindakan pihak berkuasa negeri dan Persekutuan

"Ada beberapa inisiatif yang dibuat seperti e-Mualaf iaitu sistem pengumpulan data mualaf dalam Malaysia.

"Ia sangat penting antara lain untuk mudahkan penukaran status agama dan nama dan Jakim sudah bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)," katanya ketika melancarkan Simposium Guru Mualaf Peringkat Kebangsaan 2022, di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, hari ini.

Beliau mewakili Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Hakimah berkata, sistem e-Mualaf itu juga boleh digunakan untuk pengesanan jenazah umat Islam.

Katanya, sebelum ini, banyak laporan mengenai perebutan jenazah mualaf antara keluarga dan JAIN, yang berlaku berikutan rekod pengislaman yang tidak jelas dan pendaftaran nama dan perkara berkaitan yang tidak mengikut proses undang-undang.

Beliau berkata, dibimbangi jika ia berlarutan, perkara itu akan mengganggu keharmonian antara kaum dalam negara ini.

"Sekarang ini menjadi keperluan untuk kita mempunyai satu pangkalan data membantu mualaf ini yang membolehkan maklumat mengenai mereka didaftarkan.

"Dari situ kita boleh bekerjasama dengan kementerian lain termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk bantuan dan sebagainya selain bimbingan.

"Data daripada e-Mualaf itu boleh dimanfaatkan," katanya.

Ditanya mengapa masih ada JAIN yang tidak menggunakan sistem berkenaan, Hakimah berkata, ia dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Sementara itu, Hakimah berkata, simposium yang pertama kali diadakan di peringkat kebangsaan itu membantu memberi ilmu dan menjadi platform pertukaran pengalaman dengan guru mualaf.

Katanya, ia untuk membolehkan guru terbabit mendapat input dan membuat persediaan untuk memimpin rakan mualaf yang lain.

"Kadang kala, mereka masuk Islam kerana perkahwinan, justeru bimbingan berterusan itu adalah sangat penting," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 10:48 AM