ANGGOTA forensik bomba menjalankan siasatan di lokasi kebakaran yang mengakibatkan tiga beradik rentung rumah kongsi THS Collecting Centre, Kilometer 20 Jalan Semporna, Semporna, malam tadi. FOTO Abdul Rahemang Taiming
ANGGOTA forensik bomba menjalankan siasatan di lokasi kebakaran yang mengakibatkan tiga beradik rentung rumah kongsi THS Collecting Centre, Kilometer 20 Jalan Semporna, Semporna, malam tadi. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


TIGA beradik yang ditemui rentung selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di rumah kongsi THS Collecting Centre, Kilometer 20 Jalan Semporna di Kampung Pegagau, Semporna, 7.40 malam tadi, dipercayai ditinggalkan sementara bapanya yang keluar untuk mengambil ibu mereka yang berada di ladang kelapa sawit peringkat satu Pegagau.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas berkata, kesemua mangsa Harmasius Roman @ Abdullah dan Fonsalina, masing-masing berusia lima tahun serta adik lelaki mereka, Amsalinus, 4, terperangkap dalam bilik di rumah papan berkenaan susulan asap tebal dan tidak dapat keluar menyelamatkan diri.

"Ketika dalam perjalanan pulang, ibu bapa mangsa terlihat kepulan asap berhampiran rumah dan apabila sampai mereka terkejut apabila mendapati kediaman mereka terbakar.

"Bapa mangsa kemudian cuba untuk menyelamatkan tiga anaknya tetapi gagal kerana api merebak dengan pantas.

"Apabila api dipadamkan, kesemua mangsa dijumpai dalam keadaan rentung di bahagian bawah rumah berhampiran tangga dapur dipercayai cuba menyelamatkan diri tetapi gagal. Mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Semporna untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Peter berkata, setakat ini kejadian itu didapati tiada sebarang unsur jenayah.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna, Fazizul Hizam Borhan, berkata seramai 10 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 7.47 malam.

"Sebaik tiba di lokasi, rumah terbabit sudah terbakar 95 peratus. Operasi terkawal pada 9 malam dan selepas api dipadamkan sepenuhnya, anggota bomba menemui mayat tiga kanak-kanak rentung dalam sebuah bilik.

"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 9.43 malam dan mayat ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Berita berkaitan

Tiga beradik rentung

'Jeritan minta tolong lenyap perlahan-lahan'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 3:01 PM