AHMAD dipakaikan tengkolok ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kemaman di sini, hari ini.
AHMAD dipakaikan tengkolok ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kemaman di sini, hari ini.
BERNAMA

Chukai: Umno Terengganu sudah mengemukakan senarai 42 nama untuk disaring dan seterusnya dipilih sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Seri Ahmad Said berkata, kesemua nama berkenaan sudah melalui tapisan di peringkat negeri dan mempunyai rekod peribadi yang bersih serta disenangi rakyat setempat.

"Kita tak kira siapa pun calon. Yang penting rekod bersih dan pastinya calon boleh menang," katanya kepada selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kemaman di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal berkata, Umno Terengganu telah menjalankan persiapan rapi untuk menghadapi PRU-15 dan mensasarkan untuk menang di empat daripada lapan kerusi Parlimen di negeri ini.

Ia melibatkan Kemaman, Setiu, Hulu Terengganu dan Besut.

"Untuk Parlimen Kuala Nerus kita letak peluang 50-50 kerana bekas Ahli Parlimen Pas, Khairuddin (Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali) akan bertanding bebas. Jadi dia akan tarik (undi) calon Pas di situ.

"Di Marang dan Kuala Terengganu pula kita akan kerja lebih keras untuk tawan kembali. Kita ada strategi tetapi tak boleh dedahkan dahulu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, Umno Terengganu tidak terkesan dengan keputusan Pas untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Umno tak rugi apa-apa. Kita bukan kali pertama hadapi pilihan raya. Cuma bazir sebab libatkan kos tinggi. Pengundi luar pun kena dua kali balik untuk mengundi," katanya.

Ketika ditanya adakah beliau bersedia sekiranya dicalonkan pada PRU-15 ini, Ahmad berkata, beliau tidak berhasrat untuk merebut kerusi Parlimen, sebaliknya mahu menumpu kepada misinya meneruskan pembangunan di Terengganu.

Beliau juga menyerahkan keputusan tersebut kepada pucuk pimpinan parti yang disifatkannya lebih berhak dan bijaksana.

"Saya mahu kekal bertanding di negeri kalau diberi peluang. Tetapi terpulang kepada pucuk pimpinan nak letak di mana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 7:55 PM