Ahmad Said semasa sidang Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini. FOTO GHAZALI KORI
Ahmad Said semasa sidang Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Umno Terengganu teguh dengan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan PAS negeri sekali gus memutuskan bergerak sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said berkata, keputusan itu dibuat berikutan tidak berlaku sebarang kerjasama antara Umno dan PAS menerusi gabungan Muafakat Nasional (MN) di negeri ini.

Beliau berkata, Umno menolak bekerjasama dengan Pas dan tidak akan berganjak dengan pendiriannya apatah lagi kerajaan negeri di bawah pimpinan PAS juga tidak berlaku adil kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) ketika pengagihan peruntukan bantuan Covid-19.

"Saya kata PAS tak akan bersama Umno (dan) dia akan pergi (bersama) PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

"Saya tahu baca politik PAS sebab PPBM (Bersatu) tak ada jentera (jadi) dia akan gunakan, sebab itu PAS akan gunakan PPBM (dengan) tawarkan jentera dia dan sebagai balasan, dia (Bersatu) tanggunglah kos-kos untuk pilihan raya dan sebagainya," katanya ditemui selepas Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dun Ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal memaklumkan, Umno bersedia untuk bertanding di semua lapan kerusi parlimen dan 32 kerusi Dun pada PRU-15.

Untuk rekod, pada PRU-14, enam kerusi parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman dimenangi PAS manakala Umno memenangi dua kerusi iaitu Besut dan Hulu Terengganu.

Bagaimanapun, kerusi di Parlimen Hulu Terengganu menjadi milik Bersatu selepas Datuk Rosol Wahid keluar daripada Umno dan menyertai Bersatu.

Bagi kerusi Dun pula, Pas memenangi 22 kerusi manakala 10 kerusi lagi dimenangi BN dalam PRU-14.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 6:19 PM