Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Timbalan Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Terengganu Datuk Rosol Wahid, mengesahkan yang beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu berkata, keputusan untuk tidak bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi memberi peluang kepada muka baru.

"Apa yang boleh saya katakan, saya tidak akan bertanding untuk kerusi Dun pada PRN nanti bagi memberi peluang kepada muka baru.

"Saya tidak nafikan, ada permintaan daripada Bersatu dan Pas meminta saya untuk bertanding pada PRN ini untuk kerusi Dun dalam Parlimen Hulu Terengganu.

"Namun, saya membuat keputusan untuk memberi tumpuan sepenuhnya sebagai Ahli Parlimen dan ia sekali gus membuka peluang kepada orang muda atau yang berwibawa bertanding," katanya ditemui di sini, hari ini.

Ditanya calon dan agihan kerusi Bersatu di Terengganu, Rosol berkata, keputusan muktamad akan diumumkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam masa terdekat.

Beliau berkata, setakat ini, tiga nama setiap Dun yang dikemukakan Bersatu kepada pucuk pimpinan ada di antaranya pernah menjadi calon pada PRU sebelum ini.

"Namun, keputusan muktamad calon bertanding akan diumumkan pucuk pimpinan dalam masa terdekat.

"Jika melihat kepada situasi semasa pembahagian kerusi pula, Bersatu setakat ini ditawarkan lima kerusi dan kita tidak tahu jika ada berlaku pertambahan.

"Bagaimanapun, sama ada kerusi bertambah atau tidak, kita akur dan yang pasti akan bekerja keras memastikan semua calon yang bertanding akan menggunakan lambang Pas pada PRN di negeri ini," katanya.

Difahamkan, setakat ini Bersatu ditawarkan lima kerusi yang disandang Barisan Nasional (BN) iaitu di Dun Kijal, Langkap, Kuala Besut, Permaisuri dan Telemong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 12:33 PM