NAJIB membentangkan kandungan manifesto pada majlis pelancaran Manifesto Barisan Nasional Pilihan Raya Umum Ke-14 di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi. FOTO Sairien Nafis
NAJIB membentangkan kandungan manifesto pada majlis pelancaran Manifesto Barisan Nasional Pilihan Raya Umum Ke-14 di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi. FOTO Sairien Nafis
HM Digital


PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak menyatakan janji BN untuk menyelesaikan masalah air di Selangor jika berjaya menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Najib berkata, BN juga berjanji untuk menyediakan sebanyak 65,000 unit rumah mampu milik di Pulau Pinang.

“Kalau BN kembali memerintah, masalah air di Selangor pasti BN akan selesaikan. Aku janji untuk negeri Pulau Pinang pula, nampaknya tiada cahaya di hujung terowong.

"Namun agenda utama BN, kita berjanji menyediakan 65,000 unit rumah mampu milik di Pulau Pinang, ini janji BN pada rakyat Pulau Pinang," katanya berucap di hadapan puluhan ribu penyokong BN ketika melancarkan Manifesto BN di Stadium AXIATA, Bukit Jalil, malam tadi.

Sebelum menyatakan janji itu, Najib yang juga Presiden UMNO turut menukilkan serangkap pantun khas khusus untuk dua negeri itu, berbunyi:-

Tercari terowong di Pulau Pinang,

Terjumpa baldi di negeri Selangor,

BN mesti kena menang,

Barulah rakyat hidup aman dan makmur.

Memulakan ucapannya, Najib turut menyatakan BN akan terus memperkasa peranan wanita dalam pelbagai bidang di negara ini.

“Ibu dan wanita di kaulah hati negaraku, bila kita memilih wanita dan ibu, bahawa kita meletakkan wanita dan ibu di tempat yang begitu tinggi dalam masyarakat kita.

“Ini melambangkan komitmen BN untuk memperkasakan wanita sebagai isteri, ibu, anak dan wanita yang bekerjaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 9:49 PM