ANGGOTA 10 Briged Para selepas melakukan terjunan di Felcra Changkat Lada, Kampung Gajah. FOTO Abdullah Yusof
ANGGOTA 10 Briged Para selepas melakukan terjunan di Felcra Changkat Lada, Kampung Gajah. FOTO Abdullah Yusof
Farah Suhaidah Othman

Kampung Gajah: Penduduk kawasan Felcra Changkat Lada di sini, gempar apabila ratusan anggota tentera melakukan terjunan udara daripada enam pesawat yang melintasi ruang angkasa di sini, semalam.

Semua anggota tentera lengkap bersenjata dan membawa muatan antara 30 hingga 40 kilogram (kg) membuat terjunan itu pada jam 10.30 pagi.

Anggota kemudian mendarat di kawasan selamat di kawasan sawah padi di Felcra berkenaan sebelum berjalan ke Ipoh menjadikan kawasan itu umpama medan perang.

Senario itu sebahagian latihan terjunan dan pengguguran udara membabitkan 330 anggota 10 Briged (Para) bersama Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) dalam Eksesais Gerak Pantas Siri 24/2018.

Ia berkonsepkan atur gerak secara penerjunan paracut yang turut disertai Panglima 10 Briged (Para), Brigadier Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Turut berkenan menyaksikan latihan bersejarah itu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

TENGKU Amir Shah (empat dari kiri) hadir menyaksikan penerjunan payung terjun pada Eksesais Gerak Pantas 10 Briged Para. FOTO Abdullah Yusof
TENGKU Amir Shah (empat dari kiri) hadir menyaksikan penerjunan payung terjun pada Eksesais Gerak Pantas 10 Briged Para. FOTO Abdullah Yusof

Tahun lalu, baginda dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged (Para).

Terdahulu, baginda tiba di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lada 3 di sini, dengan menaiki helikopter Augusta dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang sebelum ke lokasi latihan menaiki kenderaan Tentera Darat (TD).

Turut menyaksikan latihan berkenaan, Panglima Medan Barat TD, Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md Delin, Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Ramli Jaafar dan Panglima 2 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaafar.

Sementara itu, Tengku Muhammad Fauzi berkata, ia latihan medan dwitahunan membabitkan anggota 10 Briged (Para) dan tahun ini latihan itu membabitkan lima pesawat TUDM dan sebuah pesawat US Pacific Air Force (PACAF).

ANGGOTA 10 Briged Para  melakukan terjunan. FOTO Abdullah Yusof
ANGGOTA 10 Briged Para melakukan terjunan. FOTO Abdullah Yusof

Katanya, semua pesawat itu terbang pada paras ketinggian antara 243 hingga 365 meter sebelum anggota melakukan aksi penerjunan.

“Eksesais ini bertujuan menguji keupayaan tempur kumpulan Batalion Para bersama pasukan afiliasi yang membantu serta menilai aspek perancangan dan persiapan anggota di peringkat batalion serta briged.

“Latihan juga adalah kemuncak untuk menguji aksi terjunan setiap anggota 10 Briged (Para) selain turut menguji elemen taktikal dan kemahiran masing-masing,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

ANGGOTA 10 Briged Para melipat payung terjun. FOTO Abdullah Yusof
ANGGOTA 10 Briged Para melipat payung terjun. FOTO Abdullah Yusof

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 9:26 AM