NUR Eiffa Hazeeqa yang menghidap ‘Crohn’ mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). FOTO Ihsan pembaca.
NUR Eiffa Hazeeqa yang menghidap ‘Crohn’ mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). FOTO Ihsan pembaca.
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menghidap 'Crohn' iaitu penyakit berkaitan radang usus tetap meneruskan hasratnya untuk mengambil peperiksaan itu walaupun kini berada di atas katil hospital.

Nur Eiffa Hazeeqa Mohd Hafiz,18, dinasihati ibu bapanya supaya mengambil SPM pada tahun hadapan memandangkan tahap kesihatannya ketika ini kurang memuaskan.

Bagaimanapun, anak sulung daripada empat beradik itu tetap mahu mengambil peperiksaan terbabit kerana tidak mahu mensia-siakan persiapan yang dilakukannya.

Ibu pelajar berkenaan, Sharifah Nur Aminah Syed Abd Hamid, 41, berkata anak sulungnya itu mempunyai masalah jantung sejak lahir sebelum berdepan dengan pelbagai penyakit lain antaranya 'Crohn' yang menyebabkan sistem penghadaman terjejas.

Menurutnya, sebelum ini empat empat pembedahan sudah dijalankan sejak anaknya berusia sembilan bulan hingga tahun lalu.

"Sehingga kini, anak saya perlu berulang alik ke hospital bagi menjalani rawatan dan dia tidak pernah putus asa membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan SPM.

"Saya dan suami ada menasihatinya supaya mengambil peperiksaan ini tahun depan tetapi anak saya tetap mahu teruskannya," katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan pertubuhan kebajikan One Hope Charity and Welfare, di sini, semalam.

Remaja perempuan itu yang berasal dari Selangor kini menjawab peperiksaan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan memerlukan bantuan kewangan sebanyak RM56,400 bagi mengubati penyakit dialaminya.

Sharifah Nur Aminah berkata, wang simpanan dia dan suaminya sudah habis dibelanjakan bagi mengubati penyakit anak sulungnya yang kini menyebabkan mereka buntu mencari sumber kewangan.

"Masalah utama yang dihadapi anak saya apabila penyakit dihadapinya memerlukan ubatan khas bernilai RM300 untuk setiap enam hari untuk mengubati obesiti dan usus pencernaan.

"Suami saya bekerja sebagai pereka grafik bebas dengan pendapatan RM2,000 sebulan dan saya pula menjual kek dalam talian dengan memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan yang ia tidak mencukupi ditambah menyara tiga lagi anak," katanya.

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya yang mendengar segala permasalahan dihadapi mengambil keputusan untuk membantu suami isteri itu dengan melancarkan kempen mengumpul dana bagi mengubati remaja perempuan berkenaan.

Orang ramai yang ingin turut serta membantu boleh berbuat demikian melalui laman sesawang www.onehopecharity.org atau melalui aplikasi One Hope Charity.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 12:13 PM