WAN Sabariah (kiri) dan Muhamad Ghulfam (kanan) bersama Razia Fatma. FOTO Hairul Anuar Rahim
WAN Sabariah (kiri) dan Muhamad Ghulfam (kanan) bersama Razia Fatma. FOTO Hairul Anuar Rahim
Amir Abd Hamid


Petaling Jaya: Usianya baru mencecah tujuh bulan, namun Razia Fatma yang dilahirkan Sindrom Down turut disahkan mengalami komplikasi masalah jantung, tiroid dan penyakit kronik pada sistem pencernaan.

Anak perempuan tunggal kepada pasangan Muhammad Gulfam, 35, dan Wan Sabariah Wan Nasir, 43, itu akan menjalani pembedahan jantung pada 29 April ini yang jatuh pada Hari Nuzul al-Quran.

Wan Sabariah yang sudah tidak bekerja sebab menjaga bayinya itu sepenuh masa berkata, dia dan suami risau memikirkan kos yang perlu ditanggung untuk pembedahan berkenaan iaitu kira-kira RM35,000.

"Suami hanya bekerja buruh kasar dengan upah sekitar RM1,400 sebulan manakala saya sebelum ini kerja di kedai makan tetapi terpaksa berhenti kerja sebab perlu kerap ulang-alik membawa Razia Fatma ke hospital.

"Dia dilahirkan 16 September 2020 di Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur, disahkan menghidap Sindrom Down selepas menjalani ujian genetik.

"Razia Fatma juga disahkan mengalami jantung berlubang selain satu daripada pembuluh darah di jantungnya tersumbat yang menyebabkan dia kerap perlu mendapatkan rawatan," katanya dalam wawancara dalam talian, hari ini.

Selain itu, Wan Sabariah berkata, bayinya juga mengalami penyakit refluks gastroesofagus (GERD) yang menyebabkannya kerap muntah sehingga terpaksa menggunakan tiub untuk minum susu.

Menurutnya, doktor mencadangkan bayinya itu menjalani pembedahan di hospital Sunway Medical Centre.

Katanya, mereka lega apabila bayi mereka bakal menjalani pembedahan dan pembiayaan kos rawatan hasil sumbangan keprihatinan orang ramai melalui Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (Media Prima - NSTP Humanitarian Fund).

"Kami sebagai ibu bapa mendoakan supaya Razia Fatma dapat hidup seperti orang lain dan sangat mengharapkan semoga urusan pembedahan pada Hari Nuzul al-Quran nanti dipermudahkan.

"Ucapan penghargaan juga kepada semua penyumbang yang membantu menghulurkan sumbangan," katanya.

Mereka yang ingin menghulur sumbangan bagi Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 514105323170 atau cek sumbangan.

Cek boleh dihantar ke Jabatan Kumpulan Komunikasi Korporat Media Prima, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-24278678.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 1:31 PM