Pasukan SAR melancarkan gerakan mencari di permukaan air. FOTO ihsan bomba
Pasukan SAR melancarkan gerakan mencari di permukaan air. FOTO ihsan bomba
Zaid Salim


Hulu Terengganu: Seorang lelaki dikuatiri lemas ketika memancing bersama rakannya di Sungai Kampung Buluhberhampiran Jambatan Kampung Buloh, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Syed Nasiruddin Syed Muhamad, 26, dari Kampung Buloh Teluk Hilir, di sini, di katakan ke sungai berkenaan, kira-kira jam 10 malam tadi.

Bagaimanapun, selepas beberapa ketika memancing di kawasan berkenaan, mangsa dipercayai mahu berpindah lokasi memancing dengan menyeberang sungai.

Bagaimanapun, ketika menyeberangi sungai berkenaan, mangsa dikatakan terjerlus dan rebah sebelum dihanyutkan arus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Zamri Omar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira jam 2.07 pagi dan tiba di lokasi lima minit kemudian.

"Sebaik tiba di lokasi, kita melakukan pencarian awal di permukaan air sebelum mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat bermula jam 7 pagi tadi," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2017 @ 5:04 PM