PROJEK  perumahaan mampu milik 46 tingkat yang dibina di lereng bukit di Sungai Ara, Bayan Lepas.
PROJEK perumahaan mampu milik 46 tingkat yang dibina di lereng bukit di Sungai Ara, Bayan Lepas.
Audrey Dermawan dan Mohamed Basyir

Georgetown: Pembinaan tiga blok perumahan strata 43 dan 46 tingkat menempatkan 1,240 unit kediaman mampu milik dekat Jalan Sungai Ara mencetuskan keresahan penduduk setempat kerana terlalu hampir dengan perumahan sedia ada.

Projek terbabit sudah diluluskan pada 28 Februari lalu dengan kerja pembinaan dikatakan sudah dimulakan sejak awal bulan ini dengan pemaju juga memasang papan maklumat projek terbabit.

Namun, lokasi projek ini menimbulkan kebimbangan penduduk yang tinggal berdekatan kawasan tapak terbabit sejak 25 tahun lalu.

Penduduk, Manivannan, 40-an, mendakwa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tidak memaklumkan kepada penduduk mengenai projek terbabit.

“Tiada penduduk mengetahui projek perumahan setinggi 46 tingkat akan dibina di sini. Sekiranya awak tidak beritahu saya, ini adalah projek bangunan setinggi 46 tingkat, saya tidak akan tahu mengenainya sehingga hari ini.

“Kawasan ini agak curam dan mereka akan membina perumahan tinggi di sini. Bagaimana jika bangunan runtuh? Kami adalah orang yang akan terjejas, adakah nyawa kami tidak penting untuk mereka?

“Saya berharap pihak berkenaan dapat menjelaskan perkara ini kepada kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Kediaman penduduk di situ, hanya terletak di antara 15 hingga 20 meter dari pagar yang dipasang sekitar tapak projek kediaman itu.

Penasihat Citizen Awareness Chant Group (Chant), Yan Lee, berkata pihaknya sudah menghantar e-mel kepada Datuk Bandar MBPP bagi mendapatkan penjelasan terperinci mengenai projek itu kerana penduduk sekitar mendakwa tidak mendapat sebarang maklumat mengenainya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu, berkata kerajaan negeri sepatutnya mengambil iktibar daripada peristiwa tanah runtuh yang mengorbankan 11 orang di Tanjung Bungah pada Oktober tahun lalu.

Beliau menyifatkan, rancangan membina tiga blok perumahan mampu milik, dengan dua daripadanya 46 tingkat manakala satu lagi adalah 43 tingkat, dikhuatiri tidak selamat dan berisiko kepada pembeli serta penduduk setempat.

Katanya, kajian pakar geologi Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum ini melaporkan beberapa kawasan cerun bukit di Pulau Pinang adalah tidak selamat untuk pembangunan besar.

Antaranya adalah di Tanjung Bungah, Balik Pulau, Paya Terubong dan juga Sungai Ara.

“Pakar geologi USM itu turut mendakwa cerun terbabit berisiko sebanyak 60 peratus untuk berlaku tanah runtuh, jika ia dieksploitasi bagi tujuan pembangunan. Ini bukan dakwaan orang awam atau saya, tetapi kajian pakar yang mengetahui berkaitan cerun dan bukit,” katanya.

Mengulas lanjut, Yee Cheu berkata, antara punca menyebabkan kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah pada Oktober lalu adalah kerana ada laluan air di bawah bukit.

“Salah satu sebab tanah runtuh di Tanjung Bungah ialah kerana pergerakan bumi yang mempunyai aliran air di bawahnya, maka tanah menjadi lembut dan akhirnya membawa kepada kejadian tanah runtuh.

“Saya tidak mengatakan bahawa ia adalah sama dengan projek di Sungai Ara, tetapi petunjuk awal sudah ada. Sungai mengalir berhampiran tapak, oleh itu pihak berkuasa perlu mengambil perhatian mengenainya juga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 7:05 AM