ANGGOTA bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian, malam ini. FOTO Mikail Ong
ANGGOTA bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian, malam ini. FOTO Mikail Ong
Audrey Dermawan; Shamsul Munir Safini dan Muhammad Yusri Muzamir


KEUPAYAAN kerajaan negeri menguruskan projek di kawasan lereng bukit dipersoal selepas dilihat tidak mampu memantau perkembangan pembangunan sedemikian hingga mengakibatkan banyak kematian.

Setiausaha Kehormat Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meenakshi Raman berkata, ia berikutan kejadian tanah runtuh di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus, Paya Terubong, hari ini selain rumah mampu milik di Tanjung Bungah, tahun lalu.

Selain itu, beliau turut mempersoal keputusan kerajaan negeri meluluskan projek pembinaan lebuh raya berkenaan di kawasan lereng bukit yang mempunyai kecerunan hampir 90 darjah.

“Situasi ini mewujudkan kegusaran sama ada kerajaan negeri mempunyai kepakaran teknikal mencukupi untuk menjalankan pembinaan pelbagai projek mega dirangka dalam Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang.

“Dua kejadian ini membuktikan pihak berkuasa yang dilantik untuk memantau projek di lereng bukit di negeri ini tidak boleh dipercayai, selain kita sudah muak untuk menyalahkan pelbagai pihak.

“Kerajaan negeri perlu hentikan sebarang projek infrastruktur di lereng bukit serta-merta, takkan nak tunggu lebih banyak nyawa terkorban baru nak menyesal? Malah kerajaan negeri tidak mengikut garis panduan ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kejadian tanah runtuh di tapak Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus yang mengorbankan dua nyawa, seorang cedera dan 10 masih hilang dikhuatiri tertimbus pada sidang media, hari ini.

Turut hadir, Ahli Jawatankuasa Penang Forum Dr Lim Mah Hui dan Dr Kam Suan Peng.

Pada 21 Oktober tahun lalu, seramai 11 pekerja binaan termasuk seorang penyelia projek warga tempatan maut selepas terbabit dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah.

Meenakshi yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk Tanjung Bungah (TBRA) menggesa kerajaan negeri menubuhkan suruhanjaya siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian terbabit.

“Siasatan menyeluruh berhubung kes ini perlu dilakukan, selain kerajaan negeri mesti berhenti menjelaskan kejadian ini berpunca daripada kemalangan tapak kerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 10:03 PM