ANGGOTA UTK menyertai Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-211 di PULAPOL Kuala Lumpur, semalam.
ANGGOTA UTK menyertai Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-211 di PULAPOL Kuala Lumpur, semalam.
Mohd Fauzi AbdullahTasnim Lokman dan Nor Ain Mohamed Radhi dan Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Dalam usaha memerangi jenayah dan ancaman di negara ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah keanggotaan serta memperbesarkan lagi Unit Tindak Khas (UTK) dan Komando VAT 69.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, perkara itu sudah mendapat kelulusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Kertas dasar penambahan berhubung penambahan anggota UTK dan VAT 69 sudah dihantar kepada agensi pusat dan sedang dalam pertimbangan Ketua Setiausaha Negara untuk permohonan.

“Buat masa ini, UTK dan VAT 69 hanya mempunyai keanggotaan seramai lebih 400 dan penambahan itu akan dibuat dua hingga tiga tahun lagi.

“Kita mengharapkan penambahan satu kali ganda bagi anggota UTK dan VAT 69 dalam tempoh ditetapkan,” katanya dalam sidang media selepas Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-211 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya dalam usaha mengembangkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Sabah dan Sarawak dalam tempoh beberapa tahun akan datang dan ia turut mendapat persetujuan kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata PDRM terpaksa menyewa kenderaan canggih seperti kenderaan utiliti sukan (SUV) untuk meningkatkan keselamatan sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

“Buat masa ini, 90 peratus kenderaan dimilki PDRM berusia lebih 10 tahun dan perlu diganti dengan kenderaan baru bagi menyaingi penjenayah.

“Kerajaan sudah ambil maklum mengenai masalah ini dan saya harap penggantian kenderaan akan dilakukan secepat mungkin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 3:51 AM