MOHD Riyadh bergambar bersama motosikal Yamaha Y15ZR selepas diumumkan antara pemenang cabutan bertuah pada MBW2018 di MAEPS, Serdang, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
MOHD Riyadh bergambar bersama motosikal Yamaha Y15ZR selepas diumumkan antara pemenang cabutan bertuah pada MBW2018 di MAEPS, Serdang, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Lizam Ridzuan


BERMODALKAN RM2,000 bagi membeli 40 helai baju-T amat berbaloi buat penghantar barang apabila memenangi dua daripada 40 motosikal dalam hadiah cabutan bertuah pada Minggu Permotoran Malaysia (MBW) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang yang berakhir hari ini.

Mohd Riyadh Mohd Khir, 28, dari Shah Alam, berkata dia datang ke MBW 2018 sejak Jumaat kerana tertarik dengan hadiah cabutan bertuah yang ditawarkan iaitu 40 buah motosikal Yamaha Y15ZR dan Benelli RFS 150i.

“Saya membeli 40 helai baju-T MBW 2018 bernilai RM35 setiap satu, yang membolehkan mendapat 40 kupon cabutan bertuah.

“Alhamdulillah pada hari pertama pada 11.30 malam, saya berjaya memenangi sebuah motosikal Benelli RFS 150i," katanya.

Sabar terhadap pelaburan RM2,000 yang dibuatnya, Riyadh menunggu sehingga hari ketiga berlangsungnya MBW 2018 hari ini, dan pada 4.30 petang tadi, dia sekali lagi terpilih memenangi Yamaha Y15ZR pula.

Anak sulung daripada lima beradik itu merancang memberi motosikal yang dimenangi untuk kegunaan adik-adiknya kerana sudah memiliki motosikal.

“Saya sendiri menggunakan Yamaha Y15ZR dalam urusan kerja menghantar barangan sekitar Lembah Klang, selain pulang ke kampung halaman di Tanjung Karang, Selangor," katanya.

PRESIDEN GPMOTO Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (kiri) menyampaikan replika kunci motosikal Yamaha Y15ZR kepada Mohd Riyadh. FOTO Mohamad Faris Mohamad Fuad
PRESIDEN GPMOTO Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (kiri) menyampaikan replika kunci motosikal Yamaha Y15ZR kepada Mohd Riyadh. FOTO Mohamad Faris Mohamad Fuad

Sementara itu, MBW 2018 anjuran Persekutuan Persatuan Permotoran Malaysia (GPMOTO) berjaya menarik kehadiran 350,000 pengunjung dari seluruh Malaysia dan negara serantau yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 7:53 PM