GELAGAT peserta menunggu kayuhan bermula.
GELAGAT peserta menunggu kayuhan bermula.
PASANGAN suami isteri berkayuh bersama-sama.
PASANGAN suami isteri berkayuh bersama-sama.
AKSI peserta sewaktu dirakam lensa kamera.
AKSI peserta sewaktu dirakam lensa kamera.
GELAGAT peserta sewaktu berhenti rehat dan mengalas perut.
GELAGAT peserta sewaktu berhenti rehat dan mengalas perut.
PDRM turut membantu melancarkan kayuhan.
PDRM turut membantu melancarkan kayuhan.
Mohd Azam Shah Yaacob


Merentas laluan jauh dengan basikal berkerangka besi yang berat pastinya bukan pilihan berikutan kini wujudnya basikal lebih ringan diperbuat daripada aluminium atau gentian karbon.

Namun, nostalgia menggunakan basikal besi ini ‘menjentik’ semangat 300 peserta untuk berkayuh sejauh 90 kilometer (km) dalam program ‘Legend Rides Steel’ (LRS) atau Legenda Menunggang Besi’ yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Senangan, Butterworth, Pulau Pinang baru-baru ini.

Dianjurkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Taman Senangan, kayuhan itu antara aktiviti berbentuk kekeluargaan yang dirancang sempena Hari Kokurikulum sekolah.

Program berkenaan membawa kelainan dengan penganjuran terbuka kepada semua jenis basikal khususnya yang berkerangka besi.

Biarpun berat, kebanyakan peserta dilihat tidak mempunyai masalah untuk meredah kayuhan yang agak jauh dalam cuaca agak panas berikutan kayuhan berkenaan berkonsepkan kayuhan santai.

Malah, bayu pagi yang menyapa tubuh dalam kayuhan yang bermula pada jam 7 pagi itu juga menjadikan kayuhan terasa cukup nikmat.

Keasyikan pemandangan selain ragam peserta yang dilihat berkayuh secara santai sambil berbual menjadikan jarak 90km itu bagaikan cukup dekat. Cukup dekat hinggakan ada peserta rasa tidak puas berkayuh biarpun sudah sampai ke garisan penamat.

Itu antara kesitimewaan kayuhan ‘Legend Rides Steel’ yang memberikan pengalaman kayuhan cukup unik buat peserta yang tidak sekadar dapat beriadah, sebaliknya mengeratkan hubungan silaturahim selain menghayati serta menghargai sendiri keindahan alam sekeliling.

Penyelaras Legend Rides Steel, Chen Thien Hock berkata, kayuhan berkenaan adalah sebahagian aktiviti dirancang SK Taman Senangan bersempena Hari Kokurikulum sekolah berkenaan.

Katanya, aktiviti yang diadakan berbentuk kekeluargaan itu dirangka bagi memupuk hubungan silaturahim antara ahli keluarga murid sekolah berkenaan selain dengan pengurusan sekolah.

“Biarpun konsepnya menggunakan basikal berkerangka besi, kita juga buka kepada semua jenis basikal lain.

“Kerana apa yang kita harapkan adalah ibu bapa dapat sama-sama menjayakannya bersama anak-anak mereka,” katanya.

Sementara itu, peserta mewakili kelab basikal NORD, Suliman Abdullah, 46, berkata ini penyertaan kali ketiganya dalam kayuhan berkenaan dan antara program berbasikal yang diminatinya.

Katanya, ini kerana kayuhan berkenaan berkonsepkan kayuhan santai menggunakan basikal berkerangka besi.

“Basikal berkerangka besi ini lazimnya dikaitkan dengan model awal basikal sebelum wujudnya basikal daripada aluminium serta gentian karbon. Jadi, bagi saya bila berkayuh ia menggamit nostalgia lama sewaktu saya remaja dulu ketika menggunakan basikal berkerangka besi,” katanya.

Suliman yang juga dikenali sebagai Abang Man dalam kalangan peminat sukan berbasikal di Kedah berkata, biarpun mempunyai pelbagai basikal model baru yang lebih ringan, perasaan berkayuh menggunakan basikal lama ini cukup berbeza.

“Perasaan bila berkayuh basikal model lama ini memang lain macam, tidak sekadar seronok sahaja sebaliknya membuatkan kita teringat-ingat kenangan waktu kecil dulu yang membesar berkayuh dengan basikal ini.

“Bagi saya, bila dapat merasai semula nikmat berkayuh dengan basikal begini ia sudah cukup berharga biarpun jaraknya jauh dan tiada hadiah bagi pemenang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2016 @ 5:01 AM