ANTARA peserta yang menyertai program berkenaan. FOTO Saddam Yusoff
ANTARA peserta yang menyertai program berkenaan. FOTO Saddam Yusoff
Norzamira Che Noh


“ALHAMDULILLAH, walaupun saya tidak boleh melihat, namun saya berpeluang merasai pengalaman berbasikal sama seperti orang normal lain.”

Itu kata Muhamad Hanif Jaafar, 23, yang cacat penglihatan apabila dapat menjadi peserta program kayuhan anjuran Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor), di Shah Alam, hari ini.

Menurut Muhammad Hanif, keseronokan berbasikal seperti orang normal lain tidak dapat digambarkan dengan kata-kata kerana dia beranggapan tidak akan berpeluang menjalankan aktiviti berkenaan disebabkan kekurangannya.

“Ini adalah kali pertama saya menyertai program seperti ini dan saya sangat teruja kerana ia pengalaman baharu dalam hidup sebagai orang kurang upaya (OKU).

“Saya berharap kawan lain yang menyertai turut merasa gembira kerana walaupun tidak dapat melihat, kami diberi peluang merasai pengalaman menyertai program kayuhan basikal,” katanya ketika ditemui di Plaza Perangsang, di Shah Alam, hari ini.

MUHAMAD Hanif Jaafar. FOTO Saddam Yusoff
MUHAMAD Hanif Jaafar. FOTO Saddam Yusoff

Muhammad Hanif antara 22 pelajar OKU cacat penglihatan dari Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) yang diberi peluang merasai pengalaman berbasikal dalam program berkenaan.

Program yang melalui kawasan dari Shah Alam ke Banting (Bukit Tadom Resort) itu turut mendapat kerjasama dari Kelab Berbasikal Clever Speda dan jenama fesyen, FR.

Pengarah Bersekutu, Perhubungan Pelabur dan Komunikasi Strategik Perangsang Selangor, Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata, program kayuhan bersama golongan OKU cacat penglihatan itu adalah pertama kali dianjurkan.

“Seramai 70 peserta menyertai kayuhan ini termasuk 22 pelajar dari MAB, 17 pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menjadi jurupandu kayuhan serta 31 peminat sukan berbasikal.

“Perjalanan ke Bukit Tadom adalah sejauh 50 kilometer (km) dan peserta OKU kita akan menggunakan basikal tandem (basikal dua pengayuh).

“Program seperti ini bukan saja bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat tetapi untuk memberi peluang kepada golongan ini untuk membabitkan diri dalam sukan berbasikal walaupun mereka menghadapi kesukaran kerana cacat penglihatan,” katanya.

Turut hadir, Presiden MAB, Dr S Hadi Abdullah: pemilik jenama FR, Fairuz Ramdan dan Pengarah Program Sains Sukan UiTM, Hosni Hassan.

Mohd Fauzi berkata, program berkenaan diadakan di bawah inisiatif ‘Sukan Untuk Semua’ iaitu program melestarikan kesedaran keselamatan berbasikal di jalan raya khusus bagi golongan OKU.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 11:51 AM