KEADAAN mesin ATM dan CDM yang dipecahkan seorang lelaki di Greentown, Ipoh, tengah malam tadi. FOTO ihsan polis
KEADAAN mesin ATM dan CDM yang dipecahkan seorang lelaki di Greentown, Ipoh, tengah malam tadi. FOTO ihsan polis
Farah Suhaidah Othman


LELAKI diberkas polis selepas dipercayai mengamuk dan memecahkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) di sebuah bank di Greentown, Ipoh, tengah malam tadi.

Lelaki berusia 42 tahun itu dicekup sepasukan polis yang menerima aduan mengenai tindakannya membuat khianat di bank terbabit.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya menerima panggilan awam 12.30 tengah malam yang mengadu terdapat seorang lelaki sedang memecahkan beberapa mesin ATM dan CDM di bank berkenaan.

"Polis ke lokasi kejadian dan mendapati suspek masih berada dalam bank terbabit serta sedang memecahkan beberapa mesin ATM.

"Suspek kemudian dihampiri dan pegawai polis memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa sebelum menangkap lelaki terbabit," katanya.

Mohd Ali berkata, berlaku pergelutan antara polis dengan suspek susulan lelaki terbabit cuba melarikan diri menyebabkan suspek cedera di kepala.

"Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati terdapat enam mesin di bank berkenaan dengan empat daripadanya rosak pada bahagian cermin akibat dipecahkan.

"Tempat duit mesin berkenaan bagaimanapun tidak dipecahkan dan siasatan awal mengsyaki suspek di bawah pengaruh dadah atau alkohol serta ujian saringan air kencing akan dilakukan terhadap lelaki itu," katanya.

Mohd Ali berkata, suspek kini dirawat di hospital kerana cedera dan polis tidak menemui senjata di tempat kejadian.

"Polis percaya suspek memecahkan cermin mesin di bank berkenaan menggunakan botol arak dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 3:17 PM