Keadaan pintu sebuah bank yang dipecahkan seorang lelaki. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Keadaan pintu sebuah bank yang dipecahkan seorang lelaki. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


BERANG kad bank tidak dapat dikeluarkan dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM), lelaki bertindak memecahkan pintu kaca di sebuah bank di Jalan Lama Port Dickson hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian 11.30 pagi itu, lelaki berusia 47 tahun membuat kacau dengan membaling dan memijak tong sampah sebelum memecahkan pintu masuk bank.

“Pada awalnya, ia berpunca kerana kad ATM lelaki itu tidak dapat dikeluarkan dari mesin ATM.

“Pihak bank kemudian menyerahkan semula kad itu kepada suspek tetapi dia turut mengganggu pelanggan lain.

“Bimbang berlaku perkara lebih buruk, pihak bank membuat laporan polis. Anggota ke lokasi dan menahan suspek tidak jauh dari bank,” katanya hari ini.

Aidi Sham berkata, siasatan mendapati suspek mempunyai rekod lampau atas kesalahan memecahkan cermin sebuah kedai makanan segera di Port Dickson.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 6:46 PM