MOHD Zamri (kanan) belihat mesin ATM yang ditemui ditinggalkan di atas jalan raya. FOTO ihsan pembaca
MOHD Zamri (kanan) belihat mesin ATM yang ditemui ditinggalkan di atas jalan raya. FOTO ihsan pembaca
Zatul Iffah Zolkiply

Jertih: Mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) cuba dilarikan penjenayah daripada bank di Kuala Besut, di sini, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, cubaan penjenayah terbabit gagal selepas mesin ATM berkenaan ditemui ditinggalkan di atas jalan raya di hadapan bank berkenaan manakala mesin CDM turut ditemui berubah kedudukannya.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, polis mendapat maklumat awal daripada syarikat keselamatan yang memaklumkan penggera mesin di bank berkenaan berbunyi pada 5.35 pagi.

Beliau berkata, polis yang menerima maklumat bergegas ke lokasi kejadian

dan pemeriksaan mendapati pintu bank dipecah dengan kedudukan mesin CDM berubah dari kedudukan asal sementara mesin ATM pula berada di atas jalan.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, seorang lelaki keluar dari kenderaan berkenaan dan bertindak mengumpil pintu bank menggunakan kuku kambing dan cangkul kecil sebelum mengikat mesin ATM menggunakan tali.

"Suspek kemudian menarik mesin ATM dan cuba memecahkan tetapi gagal sebelum melarikan diri.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab di sebalik kejadian berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 12:08 PM