PETIKAN video aksi Ainin Syafiah menebar roti canai di FELDA Ulu Penggeli, Kluang yang dikongsi di Facebook.
PETIKAN video aksi Ainin Syafiah menebar roti canai di FELDA Ulu Penggeli, Kluang yang dikongsi di Facebook.
Mohd Sabran Md Sani


“TIDAK sangka video dan gambar anak sulung menebar roti canai mendapat komen positif daripada netizen," kata Rosnizah Shamsudin, 37, ibu kepada murid Tahun Enam yang menebar roti canai dalam majlis perkahwinan di FELDA Ulu Penggeli, Kluang.

Video mempamerkan kemahiran Ainin Syafiah Roslan, 12, menebar roti canai dikongsi menerusi laman sosial Facebook (FB) sejak beberapa hari lalu.

Suri rumah itu berkata, dia sekadar berkongsi kemahiran anaknya menebar roti canai ketika membantu datuknya, Shamsudin Mohd Yusof, 57, di majlis berkenaan.

“Kebetulan saya menghantar anak menemani ayah menebar roti canai pada majlis perkahwinan di FELDA terbabit dan rutin itu biasa dilakukannya sejak tahun lalu terutama pada waktu lapang.

“Dia memang ringan tulang dan kemahiran menebar roti canai diperoleh tahun lalu selepas menguli tepung untuk dijadikan doh sebelum mahir menebarnya," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Katanya, video menebar roti canai terbabit mendapat maklum balas positif daripada netizen, malah ada yang berhajat untuk datang sendiri bertemu Ainin Syafiah bagi melihat sendiri kemahiran itu.

“Saya memang tidak sangka video itu menarik minat ramai, malah ramai netizen memberi kata-kata positif dan mahu melihat secara dekat.

"Sebagai ibu, saya bangga kerana mempunyai anak yang rajin dan bijak menggunakan peluang mempelajari ilmu yang hanya dikuasai orang dewasa," katanya.

Katanya, dia sentiasa memberi dorongan kepada anaknya yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Kluang Barat, Kluang.

“Saya menyerahkan perjalanan kerjayanya mengikut kehendak hatinya, biarpun cita-citanya untuk menjadi doktor bermula sejak berusia tiga tahun.

“Asalkan dia minat, saya izinkan, malah sehingga kini dia bukan saja cemerlang dalam pelajaran, malah turut menjuarai pertandingan membuat karipap dan kek di sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 5:59 PM