CHEF Matt membuat pertunjukan menebar roti canai dengan melambung ke udara.
CHEF Matt membuat pertunjukan menebar roti canai dengan melambung ke udara.
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

Putrajaya: Tebar roti canai sampai ke Eropah. Demikian gambaran usaha dilakukan chef yang sering membuat persembahan menebar roti canai di luar negara dalam mempromosikan industri pelancongan negara ke mata dunia.

Mohamad Arshad, 45, atau dikenali sebagai Chef Matt atau ‘Flying Chef’ melakukan persembahan menebar makanan kegemaran rakyat Malaysia itu sejak 15 tahun lalu dan sehingga kini 16 negara dijejakinya.

Bapa kepada 10 anak berusia antara enam hingga 22 tahun itu berkata, pelbagai teknik menebar roti canai yang dipelajarinya termasuk menerusi carian video di Youtube bagi memberikan persembahan terbaik kepada orang ramai.

Menurutnya, teknik pusingan gasing, ‘boomerang’ serta payung adalah antara yang sering dipersembahkan ketika menyertai acara festival makanan antarabangsa atau program pelancongan di luar negara.

“Saya mempelajari teknik ini dengan menonton video pembuatan piza di Youtube dan saya gabungkan kemahiran menghasilkan makanan itu dengan roti canai.

“Bezanya ialah doh piza tebal berbanding roti canai kerana ia nipis jadi, memerlukan kemahiran dan kreativiti dalam membuat persembahan ini,” katanya.

Antara negara dilawatinya selain Indonesia, Filipina, Singapura serta rantau Asia lain, dia pernah membuat persembahan menebar roti canai di Perancis, Jerman dan Switzerland.

Dalam pada itu, Mohamad Arshad yang tinggal di Rawang, Selangor berkata, dia pernah berdepan dengan persembahan tidak menjadi dan menganggapnya ia perkara biasa.

“Roti canai yang dilambung tidak menjadi disebabkan kelajuan kipas menyebabkannya terjatuh kerana ia bergerak ke arah lain.

“Kebanyakan penonton menunjukkan minat malah mereka terhibur melihat persembahan menebar dan melambungkan roti canai.

“Dalam satu persembahan, pernah ada penonton menyangka ia plastik dan semasa menebar roti canai, saya sengaja melambungkan ke arah mereka dan apabila menyentuhnya, pengunjung teruja itu adalah roti canai sebenar,” katanya.

Bukan saja roti canai, dia berpengalaman 20 tahun membuat persembahan teh tarik semasa menyertai festival dan program pelancongan di luar negara.

“Saya bermula dengan teh dan seterusnya mengembangkan kemahiran dengan membuat persembahan menebar roti canai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2016 @ 5:54 AM