AHMAD Ashraaf (depan) dan Yong mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan.
AHMAD Ashraaf (depan) dan Yong mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan.
HM Digital

Kuala Lumpur: Seorang bekas pengarah sebuah syarikat carigali dan bekas pembantu teknikal Petronas Carigali Sdn Bhd dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berhubung kerja cari gali berjumlah hampir RM20 juta, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, Yong Mee Lan, 54, dan Ahmad Ashraaf Kamarul Zaman, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka dengan niat bersama memberi kepada Ketua Projek di Petronas Carigali Sdn Bhd, Saiful Adli Ismail, satu tuntutan melalui sistem SAP masing-masing berjumlah RM6,649,878.11 dan RM7,228,577.38 yang mengandungi butir palsu berhubung tuntutan Operation Day Rate bagi tempoh kerja dari 23 Januari 2015 hingga 6 Februari 2015, dan dari 7 Februari 2015 hingga 21 Februari 2015 dengan maksud mengelirukan Saiful.

Bagi pertuduhan ketiga pula, mereka didakwa melakukan perbuatan sama dengan membuat tuntutan berjumlah RM6,089,360.40 bagi tempoh kerja dari 2 Februari 2015 hingga 13 Mac 2015.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Petronas Carigali Sdn Bhd pada 24 Mac 2015 dan April 2015.

Dakwaan bagi ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, kedua-dua tertuduh sebenarnya sudah membuat tuntutan dengan jumlah sebenar iaitu masing-masing RM7,256,129.36 pada 5 Mac 2015 dan RM7,244,905.75 pada 6 April 2015.

Bagi pertuduhan ketiga pula, mereka sebelum ini sudah membuat empat tuntutan sebenar masing-masing berjumlah RM7,535,132.64 pada 23 Januari 2015 hingga 6 Februari 2015, RM7,346,946.67 pada 7 Februari 2015 hingga 21 Februari 2015, RM7,421,467.50 pada 22 Februari 2015 hingga 8 Mac 2015 dan RM7,376,703.77 pada 9 Mac 2015 hingga 23 Mac 2015.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohammed Heikal Ismail, manakala Mee Lan diwakili peguam Mohd Fozi Md Zin dan Ahmad Ashraaf diwakili Mohd Haziq Dhiyauddin Razali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 9:48 AM