Oleh Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: Seorang bekas pengurus Petronas Carigali Sdn Bhd (Petronas Carigali) dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM2.012 juta oleh Mahkamah Sesyen, semalam, atas empat pertuduhan menerima rasuah bagi pembayaran terhadap pembelian dan pengubahsuaian rumahnya.

Hakim Rosbiahanin Arifin menjatuhi hukuman itu terhadap bekas Pengurus Projek Penggantian Saluran Paip syarikat itu, Idris M.Shuhud, 49, selepas didapati bersalah atas semua pertuduhan di akhir kes pembelaan.

Jika gagal membayar denda itu, Hakim Rosbiahanin memerintahkan Idris dipenjara 44 bulan.

Mahkamah juga mensabitkan Idris bersalah atas empat pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM384,500.

Bagi kesalahan pertama dan kedua kes rasuah, Idris dihukum penjara tiga tahun dan denda RM437,500 dan RM1.435 juta serta boleh dipenjara 30 bulan jika gagal bayar denda itu.

Bagi pertuduhan ketiga, Idris dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM90,000 dan jika gagal dia akan dipenjara lapan bulan.

Bagi pertuduhan keempat pula, Idris dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM50,000 serta boleh dipenjara enam bulan jika gagal bayar denda itu.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Bagi pertuduhan membabitkan diri dengan aktiviti pengubahan wang haram, mahkamah memerintahkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara setahun.

Mahkamah juga memerintahkan rumah tertuduh di Bandar Tun Hussein, Cheras dan akaun bank yang mengandungi wang RM98,000 disita.

Dalam prosiding semalam, Idris yang diwakili peguam Afifuddin Ahmad Hafifi, memohon hukuman itu ditangguhkan sehingga rayuan dikemukakan bagaimanapun ia ditolak.

Idris didakwa atas empat pertuduhan rasuah menerima wang berjumlah RM403,000 daripada pengarah syarikat Penaga Orbit dan Genius Response, Kamaruddin Mohd Daud untuk pembelian dan pengubahsuaian rumahnya di Bandar Tun Hussein, Cheras.

Ia sebagai upah kerana tertuduh meluluskan dokumen urusan rasmi Petronas iaitu Tawaran Penilaian Teknikal (TBE) dan Sijil Siap Perkhidmatan bagi syarikat Kamaruddin dan semua perbuatan itu dilakukan antara 5 Mac 2009 dan 20 Januari 2012.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda hingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 jika sabit kesalahan.

Idris didakwa melakukan perbuatan itu di sekitar Kuala Lumpur antara 5 Mac 2009 dan 20 Januari 2012.

Bagi semua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda hingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 jika sabit kesalahan.

Idris juga didakwa membabitkan diri dengan aktiviti pengubahan wang haram di Maybank cawangan KLCC, Suria KLCC dan tiga pertuduhan di Bank Islam Malaysia Berhad, Seksyen 14 Shah Alam antara 5 Mac 2009 dan 20 Januari 2012.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLATFA yang membawa hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 8:30 AM