Mohd Anwar Patho Rohman

BARISAN Nasional (BN) selesai menetapkan senarai akhir calon yang akan dipertaruhkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kata Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Katanya, senarai nama itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada bila-bila masa.

"Sudah. Tunggu saja," katanya kepada BH selepas melawat Perumahan Awam Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Kepong di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu pada sidang medianya, Tengku Adnan berkata, BN enggan menguar-uarkan senarai calon dan persiapan menghadapi PRU-14 kerana tidak mahu dilabel sama seperti pakatan pembangkang.

"Saya tidak mahu jadi seperti pembangkang. Cakap-cakap saja tapi tidak buat. We walk the talk. So wait for a while ok," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau membidas sikap pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang enggan patuh kepada undang-undang dan peraturan parti sehingga ditegur Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Beliau juga meminta Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya menjaga partinya dan tidak membuat tuduhan tidak berasas kononnya ROS bersikap tidak adil terhadap parti itu.

"Suruh dia jaga parti dia sendirilah. ROS mesti ada sebab. Kalau kamu tidak ikut undang-undang, negara ini ada undang-undang. Tolong ikut undang-undang dan peraturan.

"Kamu ada Ahli Parlimen yang bercakap pasal undang-undang tetapi apabila keluar kamu tidak peduli undang-undang. Mengapa?," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 11:13 AM
Tengku Adnan (dua kiri) bertemu penduduk PPR Pekan Kepong ketika lawatan proses pembinaan Tempat Letak Kereta Bertingkat di PPR Pekan Kepong. FOTO Zunnur Al Shafiq