NAJIB bersama Rosmah, Liow (dua kiri), Ahmad Bashah (tiga kiri) dan Mohamed Nazri (empat kanan) memukul gendang tanda simbolik perasmian Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2018 Peringkat Kebangsaan di Dataran Amanjaya Mall, Sungai Petani, hari ini. FOTO Sharul Hafiz Zam
NAJIB bersama Rosmah, Liow (dua kiri), Ahmad Bashah (tiga kiri) dan Mohamed Nazri (empat kanan) memukul gendang tanda simbolik perasmian Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2018 Peringkat Kebangsaan di Dataran Amanjaya Mall, Sungai Petani, hari ini. FOTO Sharul Hafiz Zam
Team NSTP Kedah


DATUK Seri Najib Razak menyifatkan Bahasa Kebangsaan adalah pengikat perpaduan nasional bagi rakyat terdiri daripada pelbagai bangsa, sekali gus menjadikan Malaysia sebuah negara kukuh dalam pelbagai bidang.

Perdana Menteri mengakui rumah terbuka diadakan dapat menggambarkan rakyat Malaysia adalah sebuah masyarakat sangat unik dan teristimewa.

"Apabila memikirkan konsep rumah terbuka. Sebenarnya ia lebih maknanya apabila membabitkan hati dan minda kita.

"Di sinilah letaknya kunci perpaduan kita. Jika hati kita terbuka dan minda berfikir dengan rasional, maka tiada sebab Malaysia tidak jadi sebuah negara bersatu padu dengan kepelbagaian yang menjadi punca kekuatan kita, bukannya permasalahan kita.

"Kita mempunyai sikap saling hormat dan bantu sesama lain, maka kita perlu satu pengikat kepada perpaduan iaitu bahasa kebangsaan sebagai pengikat perpaduan nasional.

"Malam ini, kita dapat dengar wakil komuniti setempat, Linda Yee yang fasih berbahasa kebangsaan. Tidak kira siapa, tetapi kunci perpaduan itu ada," katanya.

Beliau berkata demikian sempena perasmian Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2018 Peringkat Kebangsaan sempena Ekspo Muafakat Kedah di Dataran Amanjaya Mall, Sungai Petani, hari ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz dan Menteri Pengangkutan merangkap Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Perdana Menteri sebelum itu berpeluang menggaul hidangan Yee Sang di laluan masuk pentas utama.

Najib dan Rosmah kemudian diiringi ke pentas bagi menyempurnakan acara memukul replika gendang Cina dengan diiringi tembakan mercun sebagai permulaan sambutan Tahun Baru Cina 2018.

Najib berkata, rakyat digesa tidak mendengar pembangkang yang lebih banyak auta daripada fakta.

"Jangan ada siapa memperlekehkan kita. Malaysia bukanlah negara yang bankrap.

"Jika bankrap, kita tidak mampu memperbesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, tiadalah peruntukkan RM1 bilion untuk loji air Kedah, malah tidaklah Menteti Besar Kedah sewenang-wenangnya mengumumkan peruntukkan RM240,000 untuk pembinaan dewan Sekolah Menengah Batu Arang.

"Malah jika nak buat majlis sebegini, sudah pasti ia tidak mampu dianjurkan termasuk mencipta rekod kuih kapit dalam sejarah. Kejayaan dikecapi Kedah terutama Sungai Petani adalah jasa Barisan Nasional (BN)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 12:26 AM