Najib dan Rosmah ketika hadir di Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran PPP di Brickfields. FOTO Aizuddin Saad
Najib dan Rosmah ketika hadir di Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran PPP di Brickfields. FOTO Aizuddin Saad
Oleh Mohd Nasif Badruddin


Kuala Lumpur: Deepavali disambut meriah hari ini dengan puluhan ribu rakyat Malaysia dan pelancong meraikan sambutan rumah terbuka perayaan itu di beberapa lokasi di ibu negara.

Pelbagai juadah istimewa disajikan kepada tetamu selain dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dan tarian kebudayaan masyarakat India.

Lebih menyerikan suasana, bukan saja kaum India yang berpakaian tradisional kurta dan sari, malah ada kaum lain yang turut berpakaian sama menunjukkan keharmonian hidup pelbagai kaum di negara ini.

Tidak ketinggalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor turut meraikan sambutan dengan menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali di tiga lokasi di ibu negara.

Najib dan Rosmah menyertai ribuan rakyat Malaysia dan pelancong memeriahkan sambutan Deepavali anjuran MIC di Batu Caves bermula 11 pagi serta meluangkan masa setengah jam menikmati juadah dan menyaksikan persembahan nyanyian selain beramah mesra dengan pengunjung.

Perdana Menteri disambut oleh Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan serta barisan kepimpinan MIC yang lain.

Najib dan Rosmah kemudian menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia Tan Sri K Kenneth Eswaran dan isteri Puan Seri Vivienne Eswaran di HGH Convention Centre, Sentul selama setengah jam.

Mereka seterusnya bergerak ke lokasi perniagaan terkenal masyarakat India di Little India, Brickfields menghadiri sambutan Deepavali anjuran Parti Progresif Penduduk (PPP) dan diraikan Presidennya Tan Sri M Kayveas serta barisan kepimpinan parti berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2015 @ 3:12 PM