CHE Ramadiah menunjukkan daun herba  gadis lompat yang boleh dimakan mentah bagi mengubati demam panas.
CHE Ramadiah menunjukkan daun herba gadis lompat yang boleh dimakan mentah bagi mengubati demam panas.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Kangar: Rimba Herba Perlis (RHP) mula ditubuhkan pada 1988 di Sungai Batu Pahat, Kangar oleh Jabatan Perhutanan Perlis dan secara rasminya dibuka kepada umum pada 1999.

Berkeluasan 12 hektar, RHP Perlis pada asalnya diberi nama Taman Herba Perlis namun sejak 2006, ia ditukar kepada Rimba Herba Perlis bersesuaian dengan persekitaran ekologinya yang mengekalkan hutan semula jadi.

Sehingga kini, RHP memiliki lebih 1,000 koleksi tumbuhan terdiri daripada tumbuhan ubatan yang diperoleh secara semula jadi di hutan ini dan dari tempat lain.

Menurut penjaganya, Che Ramadiah Abu Bakar, 58, RHP menempatkan pelbagai spesies herba liar yang boleh dimakan secara terus daripada pokok atau melalui proses pembuatan tertentu.

Menurutnya, RHP satu-satunya taman herba yang mempunyai tumbuhan herba dikenali sebagai ‘Sehelai Setahun’ atau nama saintifiknya nervilia punctata makino.

 RIMBA Herba Perlis di Sungai Batu Pahat, Kangar dibuka pada 1999.
RIMBA Herba Perlis di Sungai Batu Pahat, Kangar dibuka pada 1999.

“Herba daripada keluarga orkid itu mengeluarkan hanya sehelai daun dari setiap ubinya pada musim hujan dan daunnya akan hilang seolah-olah mereput musim panas.

“Khasiat tumbuhan ini terletak pada ubinya yang boleh dimakan secara terus atau mentah kerana ia mampu melancarkan peredaran darah dan menambah tenaga selain mengubati ketumbuhan dalam mata,” katanya.

Ubi pokok setahun sehelai tangkai panjang yang boleh dimakan secara mentah bagi membantu melancarkan peredaran darah.
Ubi pokok setahun sehelai tangkai panjang yang boleh dimakan secara mentah bagi membantu melancarkan peredaran darah.

Selain itu, wartawan turut diperkenalkan oleh Che Ramadiah kepada satu tumbuhan yang berbisa namun mempunyai 1,001 rahsia dalam ilmu perubatan.

“Jika buah dudur dikenali dengan bisa yang boleh menyebabkan sesiapa menyentuhnya mengalami kegatalan, namun tidak ramai yang tahu khasiat sebenar pokok itu.

“Akarnya boleh digunakan sebagai ikhtiar penyakit santau dengan cara merebus akarnya sehingga mendidih lalu diminum air rebusan terbabit tiga kali sehari berturut-turut,” katanya.

Malah, di penempatan herba itu, turut tersimpan herba yang diketahui umum secara komersial seperti tongkat ali, kacip fatimah, cekor dan lainnya agar pengunjung boleh melihat tumbuhan terbabit secara segar.

Buah pokok dudur yang gatal namun akarnya boleh digunakan untuk mengubati penyakit.
Buah pokok dudur yang gatal namun akarnya boleh digunakan untuk mengubati penyakit.

Terdapat sebuah denai interpretasi dikenali sebagai Denai Razani yang dilengkapi plot tumbuhan ubatan di sepanjangnya bagi membolehkan pengunjung mempelajari dan mengenali herba secara santai.

RHP turut dilengkapi laman orkid, wakaf rehat dan bangku bersesuaian dengan aktiviti pengunjung yang kepenatan selepas seharian mengelilingi rimba berkenaan.

Bersesuaian dengan Perlis berstatus negeri ilmu, RHP dibuka setiap hari kepada pelawat dengan bayaran masuk RM1 untuk dewasa dan 50 sen untuk pelajar dan kanak-kanak.

Pengunjung dapat menimba 1,001 ilmu pengetahuan di Rimba Herba Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 5:27 AM