USAHA FRIM turut menekankan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
USAHA FRIM turut menekankan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
Mohamad Hussin

Nama tumbuhan di Malaysia sering dikaitkan dengan negeri, bandar, pekan, kampung, desa, taman, jalan, lorong dan bangunan.

Di Melaka saja, terdapat lebih 33 jenis pokok yang mempunyai nama tempatan sinonim dengan nama tempat.

Sementara itu, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) turut mengenal pasti 149 spesies tumbuhan yang dinamakan atau mempunyai nama serupa dengan tempat di Malaysia.

Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abd Latif Mohmod berkata, sebanyak 66 pokok daripada 33 spesies tumbuhan yang nama tempatannya sinonim dengan nama tempat di Melaka ditanam di Taman Sinonim itu.

Beliau berkata, 33 spesies pokok itu dipilih sempena ulang tahun FRIM ke-33 tahun termasuk pokok Melaka (Phyllanthus emblica), pokok durian (Durio sp) dan Merlimau (Suregada multiflora).

DR Abd Latif (tengah) menyerahkan buku FRIM Sinonim
DR Abd Latif (tengah) menyerahkan buku FRIM Sinonim

“Program ini mengetengahkan kepentingan pemuliharaan hutan dan memberi kesedaran kepada masyarakat umum berkenaan kewujudan nama tempat yang sinonim dengan nama tumbuhan.

“Justeru, Stesen Penyelidikan (SPF) FRIM Selandar di Melaka yang dibangunkan sejak 2009 sebagai stesen penyelidikan bagi uji tanam bahan tanaman dihasilkan secara tisu kultur.

“Pelbagai spesies herba yang terpilih dan bagi usaha pemulihan kawasan hutan sedia ada. Klon tumbuhan terpilih akan dibiak baik secara tisu kultur, dipelihara dan ditanam di setiap stesen penyelidikan FRIM sebagai strategi mengelakkan daripada kepupusan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa (IDF) Peringkat FRIM dan Penubuhan Taman Sinonim di SPF Selandar, Melaka, baru-baru ini.

Abd Latif berkata, antara spesies hutan daripada klon yang terpilih termasuk pokok meranti temak nipis (Shorea roxburghii), jelutong (Dyera costulata), karas, batai (Paraserianthes falcataria), sesenduk (Endospermum malaccense) dan Eucalyptus yang ditanam secara ex situ di SPF Selandar, Melaka dan Segamat, Johor.

“Kita juga menanam pokok karas, kacip fatimah dan tongkat ali di SPF Mata Ayer, Perlis.

“FRIM menjalankan usaha menyelamatkan spesies tumbuhan dari ancaman kepupusan melalui penubuhan kawasan pemuliharaan secara in situ di habitat semula jadi atau ex situ melalui penubuhan SPF di sini dan sembilan lagi SPF di seluruh negara,” katanya.

PESERTA menanam pokok sempena sambutan IDF.
PESERTA menanam pokok sempena sambutan IDF.

Menurutnya, Taman Sinonim SPF Selandar ini akan ditanam dengan pokok-pokok yang mempunyai nama tempatan sama dengan nama tempat di Melaka.

“Contohnya pokok bidara sempena Tanjung Bidara serta pokok Melaka sendiri sempena nama negeri Melaka, batang Melaka, Kampung Ulu Batang Melaka (Selandar) dan Melaka Pindah (Alor Gajah).

“Oleh itu, hasrat FRIM dalam penubuhan taman ini lebih kepada memberi pengetahuan dan pendedahan kepada masyarakat setempat khususnya buat generasi muda untuk mengenali nama tumbuhan yang sinonim dengan nama tempat.

“Usaha FRIM juga menekankan kepentingan menyeimbangkan pembangunan negara dengan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar melalui inisiatif menanam pokok di bandar, daerah, negeri mahupun di kawasan penempatan yang lain,” katanya.

Katanya, Taman Sinonim diharap dapat menjadi perintis kepada penubuhan taman sinonim mengikut nama tempatan pokok dan tempat di setiap negeri di Malaysia.

Pada program itu, lebih 80 peserta dari FRIM dan wakil komuniti setempat termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), kampung-kampung, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan terbabit dalam aktiviti menanam pokok.

SEBAHAGIAN peserta bergambar kenangan.
SEBAHAGIAN peserta bergambar kenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 12:29 PM