TAMAN herba Inggeris dengan tujuh jenis herba tanah
TAMAN herba Inggeris dengan tujuh jenis herba tanah
Zaitie Satibi

Pemilihan konsep untuk dekorasi atau taman lazimnya dipengaruhi trend terkini atau minat seseorang.

Minat mendalam terhadap dunia landskap jugalah mendorong Mohamad Amar Sobri, 30, membina kehijauan di sekitar restorannya berlatarkan tumbuhan herba.

Ternyata konsep taman herba Inggeris yang diterapkan itu bukan sekadar menawarkan keindahan semula jadi, malah boleh menjadi pelengkap ramuan dalam masakan.

Tampil dalam suasana santai tapi eksklusif untuk menjamu selera bersama keluarga atau rakan.

“Terdapat tujuh jenis herba yang berasal dari tanah tinggi ditanam terdiri daripada thyme, rosemary, oregano, mint, lemon balm, basil dan stevia dengan khasiat tersendiri.

MOHAMAD AMAR dan isteri, Noremilia Sharmila Nawawi menunjukkan taman herba Inggeris bersebelahan restoran mereka.
MOHAMAD AMAR dan isteri, Noremilia Sharmila Nawawi menunjukkan taman herba Inggeris bersebelahan restoran mereka.

“Menariknya anda boleh memetik sendiri daun herba yang digemari untuk digunakan ketika memanggang daging kambing atau lembu.

“Menariknya pelanggan boleh memetik sendiri daun herba yang digemari dan memasukkannya ke dalam hidangan masing-masing. Ini bermakna mereka boleh menikmati menu berbeza dan merasai sendiri daun herba segar yang akan menjadi pengalaman paling menarik jika berkunjung ke sini,” katanya.

Mohamad Amar berkata, dia mempelajari ilmu tumbuhan herba daripada pakar tumbuhan itu selain mendapatkan maklumat termasuk anak pokok herba hibrid daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

PELANGGAN boleh memetik sendiri herba segar untuk dimasak bersama daging perapan.
PELANGGAN boleh memetik sendiri herba segar untuk dimasak bersama daging perapan.

“Tumbuhan herba memang diketahui umum mempunyai pelbagai kegunaan. Namun tidak ramai yang berminat untuk mendalami ilmu penanamannya kerana beranggapan pokok herba sukar ditanam.

“Kononnya, pokok sebegini hanya boleh tumbuh di negara sejuk dan ini menyebabkan kebanyakan kita lebih gemar beli herba dikeringkan sebagai penambah perisa masakan sedangkan yang segar jauh lebih enak,” katanya.

Katanya, tumbuhan herba berkenaan ditanam menggunakan kaedah batas bagi memudahkan pengasingan jenis.

Namun, penanamannya juga tidak terhad di tanah lapang apabila beliau turut menanamnya dalam pasu kecil yang kemudian dijadikan hiasan dalam premis.

“Apa yang pasti, konsep landskap begini dapat memberi pengajaran dan pembelajaran kepada pelanggan. Melalui taman herba ini, saya berkongsi pengetahuan cara menanam dan menggunakannya dalam kehidupan harian,” kata pemilik Restoran Cilantro di Kajang, Selangor ini.

KERUSI dan meja kayu palet buatan sendiri, sementara lantai rumput tiruan melengkapkan konsep taman herba Inggeris.
KERUSI dan meja kayu palet buatan sendiri, sementara lantai rumput tiruan melengkapkan konsep taman herba Inggeris.

Malah pengeluar produk daging perapan berempah sejuk beku jenama The Shepherd itu tidak menafikan pentingnya menggarapkan idea hiasan menarik supaya setiap ruang restoran boleh dimanfaatkan sepenuhnya.

Mohamad Amar berkata, disebabkan ruang makan yang kecil hanya boleh memuatkan 40 orang dalam satu-satu masa, jadi memadai diletakkan meja makan empat segi tepat bersama empat atau enam kerusi.

“Ruang makan ini tampil dengan gaya industri yang dipasang sendiri (DIY) menggunakan kayu palet dan bahan terpakai lain.

“Kerusi dan meja makan diperbuat daripada kayu palet, sementara pagar restoran menggunakan saluran paip PVC. Saluran paip berwarna putih itu kemudian ditebuk lubang kecil untuk dimuatkan pokok herba dalam pasu.

RUANG bar minuman turut disediakan dalam taman herba khas.
RUANG bar minuman turut disediakan dalam taman herba khas.

“Lantai pula dikemaskan dengan permaidani rumput tiruan hijau bagi melengkapkan konsep taman herba. Keseluruhan perabot dan dinding mengetengahkan warna bumi seperti perang, kekuningan dan hitam supaya selari konsep berkenaan,” katanya.

Mohamad Amar berkata, beliau memasang lampu LED dengan cahaya kuning bagi menimbulkan suasana tenang dan santai. Menariknya, atap restoran menggunakan kepingan bumbung beralun yang telus cahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 12:04 AM