Nor Afzan Mohamad Yusof dan Hidir Reduan

Kuala Lumpur: Lebih 2,000 tetamu mewakili badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan media, memeriahkan acara Rumah Terbuka Media Prima Berhad sempena sambutan Tahun Baru Cina di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara, semalam.

Acara bermula jam 4 petang hingga 8 malam itu, dimeriahkan dengan kehadiran beberapa anggota Kabinet termasuk Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk P Kamalanathan.

LIOW  bersama  Dr Wee (enam dari kanan),  Rohani (lima dari kanan),  Kamalanathan (tiga dari kiri),  Ismee (empat dari kiri),  Kamal  (dua dari kiri),  Abdul Jalil  (dua dari kanan) dan tetamu kehormat menggaul yee sang pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina MPB di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
LIOW bersama Dr Wee (enam dari kanan), Rohani (lima dari kanan), Kamalanathan (tiga dari kiri), Ismee (empat dari kiri), Kamal (dua dari kiri), Abdul Jalil (dua dari kanan) dan tetamu kehormat menggaul yee sang pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina MPB di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Tetamu diraikan Pengerusi Media Prima, Tan Sri Ismee Ismail, Pengarah Urusan Media Prima, Datuk Kamal Khalid, Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid, Ahli Lembaga Pengarah NSTP, Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Pengarang NSTP, Datuk Yushaimi Maulud Yahaya.

Selain disajikan hidangan enak, majlis sederhana tetapi meriah itu turut diserikan acara menggaul yee sang oleh semua tetamu.

Sementara itu, Tiong Lai berkata, acara sambutan itu menunjukkan semangat perpaduan di antara rakyat negara ini tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan negara.

“Semua yang hadir kelihatan gembira meraikan di antara satu sama lain. Semangat inilah yang kita mahu pupuk dalam kalangan masyarakat berbilang kaum negara ini,” katanya.

ANTARA tetamu yang memeriahkan majlis.
ANTARA tetamu yang memeriahkan majlis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 9:25 AM