Balai Berita Bangsar.
Balai Berita Bangsar.

Kuala Lumpur

Media Prima Berhad (Media Prima) mencatatkan hasil RM997.9 juta dan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM53.9 juta untuk tempoh 12 bulan berakhir 31 Disember 2022.

Kumpulan telah berjaya merekodkan keuntungan untuk tempoh dua tahun berturut-turut dengan peningkatan PAT sebanyak 4.0 peratus berbanding tempoh sama berakhir 31 Disember 2021.

Kumpulan juga merekodkan hasil pengiklanan yang lebih baik, iaitu sebanyak RM748.9 juta bagi tempoh 12 bulan berkenaan.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid berkata, prestasi Media Prima berdasarkan keputusan 12 bulan berakhir 31 Disember 2021, menunjukkan kebolehan Kumpulan untuk berdaya saing dalam persekitaran operasi yang mencabar.

"Ini termasuk kejayaan mencatatkan keuntungan 12 bulan untuk dua tahun berturut-turut sambil mengekalkan kedudukan pendahulu di kesemua segmen perniagaan kami.

"Pada tempoh sama, Kumpulan terus mengesahkan komitmennya terhadap amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang baik apabila menerima pengiktirafan dari Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG) dan The Edge ESG Awards.

"Namun, kami boleh melakukan lebih banyak lagi sebagai syarikat media bersepadu terkemuka bagi membuka potensi yang lebih besar daripada jenama dan perniagaan kami," katanya dalam kenyataan.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.
Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.

Menurutnya, melangkah ke hadapan, Kumpulan akan menumpukan kepada pelan rancangan perniagaan tiga tahun untuk membawa Media Prima ke tahap yang lebih tinggi.

"Kami juga akan memantau dengan teliti kecekapan operasi bagi memastikan nilai pemegang saham untuk jangka panjang," katanya.

Media Prima memaklumkan telah memulakan pelan perniagaan strategik tiga tahun yang memberi fokus kepada tiga tonggak strategik - rangsangan kandungan (content boost), inventori premium (premium inventory) dan aliran hasil baharu (new revenue streams) —

dengan menggunakan sepenuhnya keupayaan Kumpulan dalam teknologi, data dan bakat.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali.
Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali berkata, keputusan kewangan Kumpulan menunjukkan bahawa 2022 adalah tahun yang lebih mencabar di mana syarikat-syarikat media telah bertindak dengan cepat menghadapi lanskap persaingan yang

berubah dengan pantas.

"Kami percaya mampu untuk meningkatkan pertumbuhan hasil dan kecekapan operasi secara keseluruhan.

"Kumpulan juga telah membuat keputusan untuk menukar tahun kewangan Kumpulan dari berakhir pada 31 Disember kepada 30 Jun bagi

mengoptimumkan lagi perancangan audit dan pengagihan sumber.

"Kami juga telah menilai semula kekuatan kami dan berbesar hati untuk berkongsi inisiatif kami untuk menyusun semula Kumpulan di bawah rancangan perniagaan tiga tahun yang baharu," katanya.

Pelan perniagaan strategik tiga tahun Media Prima ini bertujuan untuk memacu kemampanan perniagaan dengan memanfaatkan kelebihan daya saing Kumpulan sebagai syarikat media bersepadu.

"Kami percaya inisiatif ini akan meningkatkan lagi kelebihan daya saing Kumpulan, meraih pelanggan dan projek bernilai tinggi, serta mencapai kepelbagaian pendapatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 1:02 PM