Abdul Rahemang Taiming


Tawau: "Saya nekad menyelamatkan cucu walaupun sebahagian jambatan rumah sudah terbakar," kata Salina Ali, 48, mangsa kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4 Jalan Apas, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.45 petang itu, lebih 500 rumah di kawasan penempatan atas air itu musnah dijilat api berikutan struktur dan keadaan rumah papan yang rapat antara satu sama lain.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 10.40 malam selepas enam jam anggota bomba bertungkus lumus memadam kebakaran.

Salina berkata, ketika kejadian dia bersama anak serta menantu tidak menyedari api sudah marak dan memusnahkan beberapa buah rumah berhampiran sebelum terdengar jeritan penduduk meminta mereka supaya keluar.

"Tanpa berfikir panjang, saya bergegas mencapai cucu di dalam buaian manakala anak dan menantu lari menyelamatkan diri.

"Sebahagian jambatan sudah terbakar namun saya nekad meredah api demi menyelamatkan nyawa cucu yang baru berusia empat hari," katanya sambil bersyukur mereka sekeluarga tidak mengalami sebarang kecederaan.

Seorang lagi mangsa yang juga Pengerusi Masjid Nur Estimewa, Kg Kurnia Jaya Batu 4, Jalan Apas, Rahim Mohd Amin, 42, berkata ketika kejadian dia bersama beberapa Ahli Jawatan Kuasa (AJK) masjid sedang membuat persiapan untuk majlis sambutan Nisfu Syaaban yang akan diadakan malam ini (Jumaat).

"Bagaimanapun kami terkejut apabila melihat kepulan asap hitam di udara sebelum melihat api marak dengan cepat dan memusnahkan beberapa rumah penduduk.

"Saya bergegas melaungkan azan tanpa henti bersama beberapa AJK Masjid sebelum bertindak membantu memadam kebakaran.

"Walaupun rumah turut musnah terbakar, tetapi saya bersyukur "Rumah Allah" ini tidak terjejas," katanya sambil menambah sebahagian penduduk kini menumpang teduh di masjid berkenaan.

Sementara itu, tinjauan mendapati Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang giat mengumpul data dan maklumat mangsa terbabit selepas membuka kaunter pendaftaran di Dewan Serbaguna Kampung Hidayat, di sini, bermula jam 9 pagi.

Walau bagainamanapun setakat jam 10 pagi ini, jumlah sebenar mangsa belum dapat dipastikan berikutan proses pendaftaran masih berjalan.

ANTARA mangsa yang sedang mendaftar di Dewan Serbaguna Kampung Hidayat hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming
ANTARA mangsa yang sedang mendaftar di Dewan Serbaguna Kampung Hidayat hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 10:54 AM