AHMAD (duduk, empat dari kanan) beramah mesra dengan orang ramai pada pelancaran Kafe Rakyat anjuran
AHMAD (duduk, empat dari kanan) beramah mesra dengan orang ramai pada pelancaran Kafe Rakyat anjuran
Zairee Mohd Yasak


KETIKA ramai peniaga menaikkan harga makanan dengan alasan kenaikan harga barang mentah, seorang peniaga di gerai makan Jalan Melaka Muar, Tebong, Jasin bertindak sebaliknya apabila hanya mengenakan bayaran 50 sen bagi makanan dan minuman pagi untuk pelanggannya.

Melalui kadar semurah itu, setiap pelanggan berpeluang menikmati sarapan seperti lontong, roti canai, mi goreng dan enam jenis kuih tempatan sebelum tawaran ditutup pada 11 pagi.

Pengusaha gerai, Abdul Rahman Abdul Hamid, 60, berkata tawaran itu dibuat bagi memberi peluang kepada pengunjung merasai makanan di gerainya pada harga terendah, selain beramal.

"Lebih 400 pengunjung datang ke gerai dan ada di antaranya tiba seawal 5 pagi untuk merasai aneka makanan di sini tanpa rasa khuatir mereka perlu membayar lebih.

"Alhamdulillah, sambutan tidak diduga dan memang tak menang tangan apabila pengunjung tidak putus-putus datang membeli makanan dan bersarapan di sini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Kafe Rakyat anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tedong, hari ini.

Sejumlah 10 kilogram kuih kundas habis terjual dalam tempoh empat jam dalam program turut dihadiri Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah itu.

Abdul Rahman berkata, tawaran pada harga 50 sen itu akan diteruskan pada setiap Sabtu minggu ketiga setiap bulan supaya lebih ramai pengunjung berkesempatan merasai makanan di gerainya.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Tedong, Ashri Komeng, berkata pihaknya berbesar hati untuk membantu jika terdapat pengusaha lain yang ingin menyertai program Kafe Rakyat berkenaan.

"Ia dapat membantu rakyat menjimatkan perbelanjaan, selain menikmati makanan pada harga terendah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 6:36 PM